Pelakon veteran yang terkenal menerusi filem “Panca Delima” dan “Semerah Padi” kini dikatakan sedang berada dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan serta rawatan dialisis.
Dia yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang sejak 7 Oktober lalu, difahamkan hanya tinggal harapan 50-50 sahaja untuk meneruskan hidup dan jantungnya juga dikatakan semakin lemah.
Menurut anaknya Mohamad Rizal, 23, dua minggu lalu pelakon veteran ini pernah dimasukkan ke hospital dan setelah dibenarkan pulang ke rumah, Kuswadinata difahamkan telah mengalami pendarahan semula di bahagian ulser.
“Dua minggu lalu, dia pernah dimasukkan ke hospital, tetapi dibenarkan pulang kemudiannya. Namun selepas dua hari di rumah, dia alami pendarahan semula,” kata anak bongsu daripada empat beradik, hasil perkongsian hidup pelakon itu dengan isteri kedua, Kamariah Mohd Said, 57.
Julai lalu Kuswadinata juga pernah dimasukkan ke hospital akibat kanser prostat dan dia turut menghidap beberapa penyakit seperti kanser kelenjar dan buah pinggang.