Pada 28 Julai 2012 lalu, perkarangan Fahrenheit88, Kuala Lumpur telah dibanjiri dengan peminat-peminat artis lelaki kumpulan Korea, BIGBANG. Seorang peminat fanatik kumpulan ini dikatakan sanggup menunggu selama 22 jam semata-mata untuk mendapatkan tiket artis kegemarannya.
Menurut salah seorang peminat fanatik kumpulan Korea ini, dia telah menunggu di perkarangan Fahrenheit88, sejak jam 12 tengah hari jumaat (27 Julai 2012) semata-mata untuk mendapatkan tiket. Selain itu, dia juga sanggup datang dari Melaka dan “kerja gila” ini dikatakan berbaloi kerana dia merupakan orang pertama yang memiliki tiket BIGBANG.
Selain itu, menerusi sesi temubual dengan salah seorang pelajar Jurusan Penyiaran, Fakulti Komunikasi Dan Media, UiTM Shah Alam, dia telah mula berada di perkarangan Fahrenheit88 seawal jam 6 pagi lagi. Menurutnya lagi, dia merupakan seorang yang amat meminati kumpulan BIGBANG dan sebelum ini dia juga pernah menghadiri konsert artis Korea lain seperti kumpulan 2PM.
Menerusi temubual lain, seorang peminat memberitahu OHBULAN! dia sudah menunggu sejak jam 7 pagi lagi dan ini merupakan kali pertama dia menghadiri konsert artis Korea. Selain itu, dia mengaku hanya meminati kumpulan BIGBANG sahaja berbanding artis kumpulan Korea yang lain.
Nampaknya demi kumpulan BIGBANG peminat-peminatnya sanggup buat “kerja gila”, beratur panjang dan berjam-jam demi mendapatkan tiket artis kumpulan kegemaran mereka.
Sewaktu penjualan tiket berjalan, terdapat sebuah booth menjual CD BIGBANG yang berharga RM65 dan ia terhad dan dijual pada hari tersebut sahaja. Setiap pembelian tiket akan disertakan dengan poster percuma kumpulan ini.
Kumpulan BIGBANG akan mengadakan konsertnya di Stadium Merdeka, pada 27 Oktober 2012 akan datang. Tiket dijual dari harga RM98 hingga RM688 dan ini adalah kali pertama kumpulan ini mengadakan konsert di Malaysia. Konsert jelajah dunia BIGBANG ini dikenali sebagai BIGBANG Alive Galaxy Tour 2012.