Setelah hampir lima bulan berhijrah dengan mengenakan tudung, Norhayati Hamzah atau lebih mesra dipanggil Yatt kini tidak lagi melenting atau ambil hati apabila dikritik. Dia mula belajar untuk menjadi seorang yang sabar, tabah dan bersikap pemaaf.
Menerusi laporan Harian Metro semalam, telah timbul isu yang mengatakan kononnya sejak berhijab dia menunjukkan sikap ‘terlebih’ alim ketika muncul dalam sebuah program masakan dengan alasan dia tak mahu membohongi penonton apabila pihak produksi hanya memaparkan beberapa langkah menunjukkan cara hidangan itu disediakan.
Namun begitu, menurut Yatt isu tersebut sama sekali tidak betul dan dia sendiri tidak pernah muncul dalam mana-mana program masakan.
“Siapalah yang mereka cerita. Sejak berhijrah saya tidak pernah terbabit dalam program masakan jadi bila masanya saya memasak dan memandai-mandai memberi arahan kepada orang lain. Tetapi saya tak marah dan ok saja kerana saya anggap ini semua dugaan daripada Allah terhadap hamba-Nya yang baru berubah macam saya,” ujar Yatt.
Menurut Yatt lagi, sejak berhijrah dia lebih suka menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti keagamaan dan berkongsi pengalamannya sebagai seorang pelakon. Yatt turut memaklumkan yang beliau lebih selesa bercakap dengan pelajar universiti kerana mereka adalah sebaya dan banyak cerita yang boleh dikongsikan bersama.
Apabila mengulas mengenai kecenderungan di kalangan artis yang berdakwah menerusi platform politik, jelas Yatt itu semua terpulang pada pilihan masing-masing. Baginya, berdakwah pada jalan Allah banyak cabangnya, tetapi walau apa pun carilah ilmu dulu iaitu berguru dengan mereka yang bijak pandai dalam agama sebelum mengeluarkan sesuatu pendapat.