Semalam, berlangsungnya majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Wuuhuu Online bertempat di Restoran Sri Melayu, Jalan Conlay. Dihadiri oleh ramai tetamu, rumah terbuka ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti termasuklah Nadiya Nisaa, pelakon yang memegang watak Ain Hawani didalam drama bertajuk, “Adam & Hawa”.
Sebagai seorang pelakon yang sedang meningkat naik dan juga pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2011, kredibiliti Nadiya telah dipersoalkan ramai orang dan rata-ratanya adalah dari peminat fanatik Aaron Aziz sendiri, “Aaronators”.
Dipilih sebagai heroin utama untuk menggalas watak Ain Hawani, watak yang telah memikat hati Adam didalam drama “Adam & Hawa”, banyak komen-komen negatif yang telah dilemparkan kepada Nadiya. Ketika ditemui semalam, Nadiya turut meluahkan sedikit rasa kecewanya terhadap apa yang berlaku.
“Saya terkejut kerana tidak sangka akan mendapat respon begini pada mulanya. Saya takut, peminat Aaron memang fanatik. Pada mulanya memang ramai yang tidak berkenan dan persoalkan kebolehan saya,” ujar Nadiya memulakan perbualan.
Namun begitu, Nadiya akui selepas masuk tayangan minggu kedua “Adam & Hawa” yang sudah memasuki episod ke-8 semalam, sudah ramai peminat yang boleh menerimanya.
“Lepas minggu kedua, saya sudah mula dapat maklum balas yang positif. Ada yang sudah boleh menerima saya sebagai Hawa didalam drama ini,” ujar Nadiya merujuk pada “Adam & Hawa”.
Nadiya turut memberitahu, drama “Adam & Hawa” sebenarnya sudah dimulakan penggambarannya sebelum Aaron memenangi Anugerah Bintang Paling Popular 2011.
“Penggambaran sebenarnya sudah dimulakan sebelum Aaron mendapat anugerah itu dan saya memang tidak menyangka bahawa Aaron mempunyai peminat yang ramai. Selepas Aaron menang, barulah saya tahu betapa ramainya peminat Aaron.
“Apa pun, isteri Aaron sendiri iaitu Diyana Halik sentiasa memberikan saya sokongan dan menyuruh saya agar sentiasa positif,” tambah Nadiya lagi.
Dalam pada itu, Nadiya Nisaa kini tidak putus-putus menerima tawaran berlakon dan hujung tahun ini dia akan berganding bersama Bront Palarae untuk filem bertajuk “Bikin Filem”. Manakala dalam masa terdekat pula dia akan menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie bersama Aaron Aziz.