“Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.” – petikan daripada pembentangan Bajet 2013.
“Selama 38 tahun, Seniman yang kini menaungi 5000 artis termasuk 30 000 pengiat seni yang lain terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan dana bagi menjalankan aktiviti untuk ahli. Kebiasaannya, kami menerima peruntukan sebanyak RM30 ribu setahun untuk urusan pentadbiran daripada pihak berkaitan. Bagaimanapun, pada tahun 2011 & 2012, kami tidak lagi menerima peruntukan tersebut atas alasan ketiadaan bajet. Jadi, kami terpaksa mendapatkan sendiri dana daripada sumber lain bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Jadi, dimanakah keadilan sebenar untuk anak seni kerana kami juga adalah kelompok rakyat yang mengundi dan membayar cukai?”
Pada saya, suara anak seni dan seniman perlu diberikan perhatian sejajar dengan slogan kerajaan untuk mendahulukan rakyat. Kami adalah barisan depan yang berhadapan dengan rakyat melalui media massa seperti televisyen, radio, internet dan persembahan luar.
Sebagai contohnya, baru-baru ini Shila Amzah telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Secara tak langsung, kejayaan beliau memberikan sumbangan yang besar kepada negara sekaligus membantu ekonomi negara. Bagaimanapun, kami seperti dianaktirikan kerana kepulangannya ke tanah air tidak disambut secara besar-besaran seperti atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa. Anak seni seperti kami juga wajar diberikan pengiktirafan!
Melalui pembentangan bajet 2013 sebentar tadi, jujur kata ia adalah satu kejayaan yang besar buat kami kerana akhirnya kerajaan memandang tinggi dan mengiktiraf kewujudan persatuan, terutamanya Seniman yang selama ini berjuang untuk kebajikan ahli-ahlinya.
Dengan bajet ini, kami dapat membantu anak seni yang berkebolehan mengembangkan lagi kareernya ke persada antarabangsa. Secara tak langsung, peruntukan ini dapat menganjakkan lagi industri seni ke satu tahap yang membanggakan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mendengar serta mempertimbangkan suara kami dalam pembentangan bajet sebentar tadi. Ini adalah hadiah kemenangan buat anak seni seluruh Malaysia!
Bagaimanapun, saya harap bajet ini dapat disalurkan terus kepada orang yang jujur, amanah serta telus untuk membantu anak seni tempatan tanpa sebarang birokrasi atau muslihat tersendiri. Sekiranya berlaku, saya akan berjuang sehabis habisnya!
Dan akhir kata, saya harap bajet seperti tadi akan diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang, bukan sekadar untuk menarik perhatian kami kerana musim pilihan raya,” ulas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang dihubungi OHBULAN! melalui telefon, sebentar tadi.