Nama Syafie Naswip memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam industri hiburan tempatan. Namun bila disebut Sharifah Aryana mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah pemilik nama tersebut.
Untuk pengetahuan anda, Aryana merupakan adik bongsu kepada pelakon Sharifah Amani dan penyampai radio Sharifah Aleya yang sudah lama menceburi bidang lakonan namun masih kurang dikenali.
Jika anda masih ingat, Aryana dan Syafie pernah digandingkan buat pertama kali di dalam sebuah filem arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad berjudul Mukhsin kira-kira lapan tahun lalu.
Dan kali ini selepas lapan tahun kedua-duanya digandingkan semula dalam drama terbaru berjudul Ride yang bakal disiarkan secara bersiri di slot Aurora TV9.
Secara umumnya, drama yang berkisar tentang kehidupan sekumpulan remaja penuh konflik dan dunia basikal fixie dijangka mampu menarik jumlah penonton yang ramai memandangkan konsep itu bersesuaian dengan kegilaan remaja masa kini.
Drama arahan Faisal Ishak ini menceritakan kesukaran Elana iaitu pemilik kedai basikal fixie berkonsepkan café bernama Ride yang terpaksa mencari jalan bagi mengelakkan kedainya ditutup selepas sekian lama tidak berjaya mengutip keuntungan.
Dengan bantuan dua orang rakan baiknya, Juju dan Pajai, Elana kemudian mendapat idea untuk mengutip dana bagi menampung kos operasi Ride menerusi bazar yang menjual barangan tempatan dan persembahan muzik.
Juju dan Elana bekerja keras mencari pemuzik dan penjual yang berminat untuk menyertai bazar mereka. Manakala Pajai pula bertanggungjawab dalam reka bentuk kreatif berkaitan bazar.
Namun di sebalik keakraban mereka, masing-masing mempunyai masalah sendiri yang akan menjadikan jalan cerita Ride penuh konflik dan lebih menarik untuk ditonton.
Buat semua penggemar drama, jangan lupa saksikan drama bersiri ini yang akan mula ditayangkan pada 13 Mac 2014, setiap hari Khamis jam 8.30 malam.