Media sosial sejak Sabtu heboh dengan kritikan dan hentaman terhadap logo Visit Malaysia 2020 yang dilancarkan pada Jumaat di Chiang Mai. Ramai netizen tidak berpuas hati dengan hasil akhir logo itu yang dikatakan seperti kualiti budak tadika.
Artikel berkaitan: ‘Beruk 2 Ekor Tu Ke Bikin Logo Ni?’ – Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 Teruk Dihentam
Tidak hanya netizen meluahkan kekesalan mereka, malahan bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang kreatif turut membuat rekaan logo versi mereka sendiri. Pun begitu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ada pendirian sendiri mengenai hal ini.
Akan tetap diguna walau dikritik
Menurut Nazri, pihaknya tetap akan menggunakan logo berkenaan walaupun menerima kecaman hebat di media sosial. Logo berkenaan tambahnya lagi, menerima pujian daripada pelancong ketika pelancaran itu dibuat.
Kritikan itu perkara biasa. Saya lancarkan di Chiang Mai dan semua orang memuji logo itu. Ianya untuk pelancong asing, bukan untuk kegunaan dalam negara, saya tak kisah.
Di Chiang Mai, kami terima respon yang cukup baik kerana mereka tidak pernah melihat logo itu sebelum ini. Berbeza pula dengan rakyat Malaysia yang pernah melihatnya. Saya tak akan tukar.
Saya telah lancar dan rasmikannya. Nazri Aziz tidak akan tarik balik tindakan itu. Logo ini akan digunakan untuk dunia, hanya satu-satunya.
Percuma, guna khidmat pekerja dalaman
Nazri juga menafikan dakwaan bahawa kementeriannya menggunakan perkhidmatan pihak luar untuk tujuan rekaan logo berkenaan. Namun katanya logo berkenaan dibuat sendiri oleh stafnya sendiri.
Kami tidak guna pihak luar dan tidak habiskan sesen pun. Semuanya dibuat secara dalaman, oleh staf kami. Saya percaya kepada staf sendiri dari menghabiskan ratusan ribu Ringgit kepada orang luar.
Ianya percuma kerana preka grafik adalah salah seorang daripada staf kami.
Netizen sebelum ini menyelar habis-habisan logo berkenaan yang disifatkan satu bahan jenaka dan akan diketawakan selama 2 tahun berturut-turut. Ada juga berpendapat logo berkenaan direka oleh dua beruk yang merujuk kepada orang utan dan monyet belanda.
Sumber: Free Malaysia Today