Ini bukan kali pertama pelakon popular Sheheizy Sam diaju soalan berkaitan jodoh. Malah menurut Sam, dirinya sendiri sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, cuma calon yang betul-betul sesuai sahaja belum ditemui.
“Tahun ini, memang saya ada rasa nak berkahwin dan seterusnya memiliki anak yang ramai. Biar 12 orang sekali pun saya tak kisah, jika itulah rezeki saya. Lagipun saya memang suka melayan kerenah kanak-kanak.”
“Cuma, sehingga kini saya sekadar berkawan saja dengan wanita, serta belum berkenan dengan mana-mana daripada mereka. Mungkin sikap cerewet saya membuatkan jodoh saya lambat.”
Mengulas lebih lanjut mengenai calon isteri, Sam turut berkongsi beberapa ciri wanita idamannya dan mengaku tidak suka wanita yang suka memaksa.
“Bukan apa, saya inginkan wanita yang tidak suka memaksa, sebaliknya membuatkan saya sentiasa tenang. Kurang provokasi dan memberi ruang untuk saya berfikir dalam membuat keputusan. Saya mahu ibu yang baik dan penyayang untuk anak-anak saya nanti. Semua ciri itu belum saya temui setakat ini,” ujar Sam menerusi laporan Berita Harian hari ini.
Dalam pada itu, Sam turut akui wang simpanannya sudak cukup untuk mendirikan rumah tangga dan perasaan untuk berkahwin semakin membuak-buak tatkala melihatan rakan-rakan lain bermain dengan anak masing-masing.
“Mungkin juga jodoh saya lewat kerana saya menganggap perkahwinan tanggungjawab yang berat dan bukan perkara main-main. Saya percaya, perkahwinan ialah ikatan yang membawa ke hujung nyawa.”