Sejak muncul kembali dari persembunyian baru-baru ini, khabarnya ramai penerbit drama yang mula mengintai Shahir dan menawarkannya peluang untuk berlakon semula.
Jika melihat kepada lakonan Shahir dalam filem Karak dan telefilem Cerciter Citer pada tahun 2011, OHBULAN! berpendapat juara Akademi Fantasia musim kelapan ini sebenarnya mempunyai bakat terpendam.
Mungkin disebabkan itu jugalah, sebuah syarikat produksi dikenali sebagai Zeel Production telah membuat keputusan untuk mengambil Shahir berlakon di samping Izreen Azminda dalam drama terbaru mereka.
Drama adaptasi novel yang berjudul Yes, Boss! itu difahamkan akan menemui penonton pada Januari 2014 untuk siaran TV3.
Berita ini telah dikongsikan oleh pihak produksi sendiri menerusi Twitter beberapa hari lalu. Dan melalui promosi yang dijalankan, dapat dilihat Shahir bakal memegang watak utama di dalam drama berkenaan.
Tak mustahil Yes, Boss! akan membuatkan ramai penonton jatuh cinta dengan watak yang dibawakan Shahir sekaligus melonjakkan namanya semula di dalam industri hiburan. Almaklumlah, karya adaptasi novel kini sudah semakin mendapat tempat di hati penonton.
Bagaimanapun, bagi yang merindui Shahir, di sini OHBULAN! sertakan beberapa keping foto jejaka kacak ini untuk tatapan anda.