Pada tanggal 3 Oktober 2012 semalam, pihak Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya telah menetapkan 7 November depan sebagai tarikh keputusan berhubung bantahan awal yang dibuat oleh pelakon Rita Rudaini Mokhtar terhadap permohonan kembali taat oleh suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak.
Berhubung laporan Sinar Harian Online hari ini, bantahan yang dibangkitkan oleh Rita adalah mengenai kesilapan pada isu pemastautin Aidil yang dikemukakan dalam permohonan tersebut.
Sewaktu perbicaraan berlangsung, peguam syarie, Ahmad Nazib Johari sebagai wakil pihak Aidil memaklumkan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir dan beliau kemudiannya menyerahkan dokumen pengesahan ketidakhadiran Aidil kepada mahkamah.
Aidil difahamkan tidak dapat hadir kerana dia sedang menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria.
Berikutan penyerahan dokumen tersebut, Ahmad Nazib ditegur oleh Hakim Syarie Saharuddin Selamat agar menasihatkan anak guamnya berhubung kes tersebut.
“Pada tarikh lalu anak guam tidak hadir, hari ini (semalam) pun tidak hadir. Peguam tolong nasihatkan anak guam baik-baik. Sepatutnya bila tidak hadir terus kemukakan dokumen sebagai bukti kerana perlawanan sudah ditetapkan lebih awal.”