Sejak kebelakangan ini, Zizan Razak dan Emma Maembong semakin terbuka berbicara soal cinta. Memang tak dapat dinafikan pada awalnya mereka agak keberatan untuk berkongsi namun gambar di laman sosial baru-baru ini seakan mengiyakan gosip yang bertebaran.
Berpeluang menemui Emma di sidang media Pelancaran Emma Maembong Sebagai Duta Maixara petang semalam, pelakon cantik itu menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri dalam menyembunyikan kisah mereka.
Sebenarnya kami bukan nak sorok tapi masa tu saya baru lagi kenal Zizan. Memang kita dah berkawan lama tapi bukan rapat. Saya tak nak orang tengok di awal perkenalan nampak terlampau meriah tapi lama-kelamaan baru sedar tak serasi. Sekarang ni Alhamdulillah Emma dah selesa berkawan dengan dia dan kami dah kenal keluarga masing-masing. Barulah kami setuju untuk memberitahu public.
Dalam pada itu, Emma turut memberitahu Zizan merupakan lelaki pertama yang dibawa pulang ke rumah untuk berjumpa dengan bapanya.
Kalau nak tahu, Zizan lelaki pertama yang saya bawak jumpa ayah. Mula-mula ayah tak kenal siapa Zizan, saya cuma cakap Zizan orang Terengganu. Tapi ayah pelik bila ramai orang nak tangkap gambar dengan Zizan waktu kami keluar makan. Dari situ, ayah pasang spy, tanya kawan-kawan dia pasal Zizan dan barulah dia tahu anak dia ni bercinta dengan artis.
Ditanya mengenai respon sesetengah peminat yang tidak gemar melihat pasangan ini berkongsi gambar di Instagram hingga ada yang menuduh sengaja menunjuk-nunjuk, Emma menjelaskan dirinya hanyalah manusia biasa yang mahu berkongsi memori dengan kekasih hati.
Kalau di luar set, saya adalah manusia biasa. Saya sama macam perempuan lain yang nak kongsi gambar ketika keluar dengan boyfriend dan sebagainya. Saya rasa tu tak salah. Tapi saya mintak maaf kalau ada yang tak suka.
Dalam perkembangan lain, Emma kini sedang berehat dari menjalani penggambaran drama kerana mahu memberikan perhatian kepada keluarga terutama bapanya. Antara drama terakhir yang dilakonkan oleh Emma ialah Projek Memikat Suami, Yes, Boss! dan Syurga Tanpa Cinta.