berita

11 Kumpulan Sekolah Yang Kreatif Diangkat Sebagai Pemenang Dalam Cabaran Sekolah LEGOLAND 2023

August 8th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Cabaran Sekolah LEGOLAND 2023 yang disokong oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) baru sahaja melabuhkan tirai pada Khamis lalu dengan mengumumkan 11 kumpulan sekolah menengah dan rendah melalui Pembinaan Model LEGO®.

Cabaran Sekolah LEGOLAND 2023

Cabaran Sekolah LEGOLAND 2023 menerima sebanyak 370 penyertaan daripada sekolah di rantau ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 80% berbanding penyertaan tahun lalu.

Daripada kesemua penyertaan, para juri telah memilih 10 binaan LEGO terbaik dan luar biasa bagi menyahut cabaran Sekolah LEGOLAND 2023 yang dianjurkan buat kali keduanya oleh LEGOLAND® Malaysia Resort.

Kategori khas yang ditaja oleh Iskandar Pelaburan Berhad adalah Anugerah Pemangkin Perubahan IIB iaitu untuk meraikan kreativiti dalam mereka bentuk struktur bandar yang futuristik dengan menfokuskan kepada teknologi terkini dan elemen kemampanan.

Penyertaan tersebut dinilai berdasarkan keaslian, inovasi reka bentuk, penggunaan tema secara imaginatif dan penggabungan elemen mampan. Penglibatan awam juga memainkan peranan kerana binaan LEGO yang menerima banyak tanda suka di platform media sosial IIB mendapat kelebihan.

Barisan pemenang dipilih berdasarkan reka bentuk imaginatif, perhatian terhadap perincian dan tafsiran inovatif tentang landskap bandar masa hadapan. 

Pemenang menerima hadiah yang lumayan dengan jumlah mencecah RM100,000. Hadiah tersebut termasuk perjalanan pendidikan ke LEGOLAND Malaysia Resort, sebuah trofi yang dibina dengan LEGO bricks. Para pemenang juga berpeluang menyertai salah satu program pendidikan STEM LEGOLAND Malaysia selain mendapat keistimewaan untuk menghadiri bengkel eksklusif dengan LEGO Master Model Builders.

Berikut merupakan senarai pemenang bagi kategori sekolah rendah:

Tempat pertama: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa K, Alor Setar, Kedah.

Tempat kedua: Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Kelantan.

Tempat ketiga: SK Tunku Azizah, Kuantan, Pahang.

Tempat keempat: Sekolah Kebangsaan Medini Nusajaya, Johor Bahru.

Tempat kelima: Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Senarai pemenang kategori sekolah menengah:

Tempat pertama: Campus Rangers International School, Kuala Lumpur.

Tempat kedua: Ateneo de Manila Junior High School, The Philippines.

Tempat ketiga: SMK Medini, Iskandar Puteri, Johor.

Tempat keempat: Sekolah Menengah St Dominic Lahad Datu, Sabah.

Tempat kelima: Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Kuala Lumpur.

Manakala pemenang bagi kategori khas oleh Iskandar Investment Berhad adalah Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur (rendah).

Cabaran Sekolah LEGOLAND 2023 terus menerima sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Pendidikan.

Sekadar info, para pengunjung boleh melihat model LEGO para pemenang yang dipamerkan di LEGOLAND Malaysia Resort sehingga pertengahan September 2023.

Pembelian tiket masuk ke taman tema LEGOLAND Resort Malaysia boleh dibeli secara atas talian www.legoland.com.my atau menerusi kaunter LEGOLAND di Johor Bahru.

SKIP THIS AD ×