Foto: Shiraz Project & Nusafest
Hujung minggu lalu iaitu pada 8 dan 9 Julai 2023 berlangsungnya festival muzik Nusafest anjuran Shiraz Project di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Nusafest membawakan pelbagai band dengan genre muzik berbeza antaranya rock, indie, metal, rap, reggae, ska dan grunge dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Artikel Berkaitan: Search & Wings Kembali Berkongsi Pentas Selepas 10 Tahun, Nusa Fest Bawakan Butterfingers!
Hari pertama
Foto: Shiraz Project & Nusafest
Membuka tirai Nusafest penonton disajikan dengan persembahan antaranya daripada White Percussion Unit, Ras Muhammad, Salammuzik, Kelompok Penerbang Roket dan Efek Rumah Kaca.
Dua kumpulan lagenda rock tanah air iaitu Search dan Wings membuat persembahan pada sebelah malam di festival itu.
Kumpulan Search dibarisi anggotanya iaitu Datuk Amy, Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir membawa tujuh buah lagu iaitu Diari Habil Dan Qabil, Gothik Malam Edan, Isi Atau Kulit, Rozana, Isabella, Pelesit Kota dan Pawana.
Paling menarik perhatian penonton pada malam itu adalah pemain dram yang dikenali sebagai Naimi. Dia merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang baru berusia 17 tahun telah berjaya membuat semua yang berada di festival tersebut terpukau dengan kelincahannya.
‘Vibes rock and roll’ diteruskan lagi dengan kumpulan Wings yang memulakan persembahan dengan gitar ‘digoreng’ oleh Edrie Hashim.
Tidak menunggu lama, gema suara Datuk Awie menggamatkan lagi malam itu dengan membawakan 11 lagu popular kumpulan Wings antaranya Romania, Opera Hidup, Bujang Senang, Peronda Jaket Biru dan Sejati.
Dalam pada itu, sikap profesionalisme yang ditonjolkan oleh pemain gitar kumpulan Wings iaitu Eddie yang baru sahaja kematian isteri tercinta harus dipuji. Dia tetap memberikan ‘outstanding performance’ walaupun dalam keadaan berduka.
Hari kedua
Nusafest diteruskan lagi pada hari kedua dengan persembahan antaranya dari kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang, Monoloque, Gerhana Ska Cinta dan Diskoria.
Di sebelah malam pula, penonton menyaksikan persembahan mantap dari kumpulan yang sedang meningkat naik di dalam tanah air dan juga telah berjaya menembusi pasaran di negara seberang iaitu Kugiran Masdo.
Band dari Indonesia, Fourtwnty kemudian mengambil alih pentas dengan menyanyikan lapan buah lagu iaitu Realita, Nematorpha, Hitam Putih, Aku = Kamu, Larasuka, Aku Tenang, Zona Nyaman da Fana Merah Jambu.
Penutup festival Nusafest 2023, Butterfingers sebagai salah satu antara ‘headliner’ yang membawa genre grudge pastinya mengubat hati segenap peminat pada malam itu dengan persembahan 11 buah lagu.
Untuk info, Nusafest juga menyediakan Pasar Nusa iaitu sebuah kolaborasi bersama RIUH yang menghimpunkan sebanyak 60 gerai jualan. Selain itu, menerusi substage Nusafest memperkenalkan beberapa band lain antaranya Kolar Hijau, A.Limin, Motherwhit dan banyak lagi.