Cuti sekolah sudah pun bermula. Pastinya, ada dalam kalangan ibu bapa yang merancang untuk membawa anak-anak ke pusat rekreasi seperti air terjun, pantai dan sebagainya. Lagi-lagi dengan keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara kita saat ini, memang seronok dapat mandi-manda di samping menghirup udara segar kan?
Namun, anda haruslah berhati-hati kerana baru-baru ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 15 lokasi yang berisiko tinggi berlaku kejadian mati lemas.
Insiden mati lemas meningkat
Menurut Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, menerusi data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terdapat beberapa lokasi yang mencatatkan insiden mati lemas lebih daripada lima mangsa antara tahun 2016 dan 2018.
Pada tahun lalu, sebanyak 182 insiden mati lemas dilaporkan di kawasan sungai atau tali air, 58 di pantai, 39 di lombong atau tasik dan 27 insiden di air terjun.
Berdasarkan data JBPM bagi kejadian mati lemas kawasan rekreasi adalah sebanyak 260 kes pada 2016; 327 kes pada 2017 dan 309 kes pada 2018.
Oleh itu, beliau meminta semua ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak semasa berkunjung ke tempat rekreasi dan patuh kepada tanda amaran melarang aktiviti air atau panduan keselamatan di kawasan berisiko tinggi.
Lokasi ‘hotspot’ mati lemas
Jadi, kepada anda yang merancang untuk membawa anak-anak ke pusat rekreasi melibatkan air, berhati-hatilah di kawasan-kawasan ini:
Kawasan sungai
- Sungai Kampung Batu Payung, Tawau Sabah (15 nyawa)
- Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Sungai Tinggi, Selangor (7)
- Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan (6)
- Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor (6)
- Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor (5)
Kawasan pantai
- Pantai Nipah, Bachok, Kelantan (14)
- Muara Tok Bali, pasir Puteh, Kelantan (7)
- Teluk Bahang, Pulau Pinang (7)
Kawasan lombang/empangan
- Empangan Semenyih, Semenyih, Selangor (10)
- Empangan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor (10)
- Jambatan Stesen KTM, Sungai Buloh, Selangor (5)
Kawasan air terjun
- Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor (12)
- Sekayu, Terengganu (11)
- Lata Berembun, Raub, Pahang (10)
- Chamang, Bentong, Pahang (5)
Sumber: Bernama