Jika sebelum ini Malaysia berbangga dengan kejayaan dua orang pelajar muda iaitu Jarell Cheong Tze Wen dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang bakal melanjutkan pelajaran ke kolej terkemuka di seluruh dunia iaitu Kolej Harvard.
Artikel berkaitan: 2 Pelajar Cemerlang Malaysia Bakal Ke Harvard College, Tahniah!
Terbaru, dua orang pelajar perempuan telah berjaya menempatkan diri sebagai 10 terbaik di dunia menerusi peperiksaan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA) bagi sesi Mac 2021.
Pensyarah banyak membantu
Menerusi laporan Harian Metro, Nurul Fatin Nabihah yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu telah mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR). Manakala, Siti Naziah Mohamad Nazid dari Taiping, Perak pula mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi peperiksaan Audit & Assurance (AA).
Mereka berdua merupakan pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dan antara 92 ribu calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut pada masa sama. Menurut Fatin, banyak cabaran yang dia hadapi berikutan perlu mengikuti kelas secara dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama masalah talian internet. Bagaimanapun, pensyarahnya banyak membantu termasuk berusaha merekod video untuk memastikan pelajarnya faham apa yang diajar.
Tertekan belajar secara dalam talian
Menurut Siti Naziah pula, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang. Ini kerana, dia hampir putus asa apabila gagal dalam dua ujian yang diberikan oleh pihak kolej. Dia turut mengaku bahawa dirinya agak sedikit tertekan pada masa tersebut kerana perlu belajar secara dalam talian.
Saya hampir mengalah ketika itu, tetapi berkat dorongan dua rakan baik Syaza Syariah Eddy Syazri dan Noor Syafiqah Mohd Tarmizi saya bangkit semula. Hampir setiap hari kami bertiga belajar secara berkumpulan menerusi panggilan video kerana masing-masing tinggal jauh namun dengan cara ini kami dapat memberi lebih tumpuan.
Sebaik menerima keputusan pada minggu lalu, Naziah mengaku bahawa dirinya sangat terkejut dan tidak menyangka kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Sumber: Harian Metro