Penyanyi Bob Yusof meluahkan rasa syukur kerana meraih Anugerah Best Achievement Award In Entertainment Industry sempena Borneo Excellece Entrepreneur Personality Awards (Borneo Best Award 2024), baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Bob Yusof Jalin Kerjasama Dengan Artis Singapura, Rancang Bawa Keluar Lagu Baru Tahun Ini!
Artikel Berkaitan: Bob Yusof Rindu Momen Raya Bersama Arwah Atuk & Monyet Peliharaan
Artikel Berkaitan: ‘Mereka Bukan Penyanyi Keroncong, Seharusnya Beri Lagi Galakan & Penambahbaikan’ – Bob Yusof
Anugerah penghargaan yang pertama
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Bob berkata, dia sangat teruja sebaik sahaja mengetahui perkara tersebut.
Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT atas kurniaan ini dan terima kasih kepada pihak penganjur yang mencadangkan nama saya untuk diberikan Best Achievement Award In Entertainment Industry sempena Borneo Excellece Entrepreneur Personality Awards (Borneo Best Award 2024). Julung kali ianya diadakan di Borneo dan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah untuk kali ini.
Semestinya saya merasa sangat bersyukur dan teruja dengan penganugerahan ini. Apatah lagi ini adalah satu-satunya anugerah penghargaan yang pernah saya genggam sepanjang 20 tahun dalam kerjaya. Selain daripada hadiah atau anugerah kemenangan dalam pertandingan.
Disoal mengenai impian yang masih belum dikecapi sepanjang 20 tahun berada dalam industri seni, bekas peserta program Akademi Fanstasi musim kedua itu memberitahu, masih ada terlalu banyak impian yang mahu digapai antaranya, mengeluarkan album solo penuh yang kedua dan menghasilkan single lagu-lagu tradisional yang berbentuk moden.
Berbicara mengenai jadual yang padat sejak kebelakangan ini pula, Bob hanya mampu meluahkan rasa syukur.
Alhamdulillah saya rasa bersyukur sangat dan saya rasa selagi bakat dan khidmat saya sebagai penghibur masih diperlukan dan diterima selagi itulah saya bekerja dan akan pastikan setiap persembahan itu, akan meninggalkan kesan yang baik serta positif kepada semua orang.
Ditanya mengenai penat atau tidak menjadi seorang anak seni bernama Bob, pelantun suara ‘Enigma’ ini hanya tersenyum dan memberi pandangannya secara peribadi.
Saya mengambil pendekatan sebagai anak seni itu sebagai pekerjaan, semua orang akan pernah merasa kerja yang mereka lakukan itu penat, namun kerana minat kita harus teruskan dan inilah sumber rezeki kami. Jadi jangan pernah mengeluh atas kerja yang dilakukan.
Setiap detik itu adalah kenangan terindah andai kita ikhlas dan jujur dalam pekerjaan kita. Memang kadang-kadang kita merasa penat dengan apa yang kita lakukan terutama sebagai seorang Bob Yusof jika lagu yang diterbitkan kurang mendapat sambutan namun, saya tidak pernah jemu dan mengalah untuk terus berkarya dan mencari bahan atau lagu yang lebih baik.
Ada perancangan nak buat showcase
Memandangkan setiap bulan pasti akan ada artis yang melakukan konsert mahupun showcase, OhBulan! sempat bertanya kepada Bob adakah dia mempunyai perancangan yang sama.
Wah itu semestinya, memang kalau ikutkan perancangan dan hasrat ingin nak buat tapi biarlah kita atur dengan baik dan mungkin bila tiba masanya nanti saya akan hebahkan.
Di akhir temu bual, Bob berkongsi mengenai perkembangan kariernya setakat ini.
Perkembangan semasa saya hingga hujung tahun ini selain dari undangan persembahan adalah merancang projek di tahun depan dengan pelbagai perancangan untuk mengeluarkan lagu atau single dalam elemen yang berbeza dari sebelum ini.
Pihak saya tengah mengumpulkan beberapa material untuk dinilai. Kemungkinan juga kita akan mulakan dengan lagu tradisional moden dan lagu-lagu rakyat. Tahun hadapan pula, saya mengharapkan segala perancangan akan dilakukan dengan baik seperti mengeluarkan lagu raya, lagu tradisional moden dan lagu rakyat kanak-kanak.