berita

26.5 Juta Rakyat Malaysia Bakal Diberikan Suntikan Vaksin Covid-19 Percuma

December 22nd, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Sebelum ini, Menteri Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata bekalan vaksin Covid-19 untuk Malaysia dijangka akan diterima pada suku pertama tahun depan dan bekalan vaksin itu dapat meliputi 30% populasi negara.

Artikel berkaitan: Indonesia Terima 1.2 Juta Dos Vaksin Covid-19 Dari China, Giliran Malaysia Dijangka Tahun Depan

Terkini, menerusi perkongsian yang dimuatnaik oleh Khairy Jamaluddin di Twitter, beliau berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan portfolio terbaru iaitu bekalan vaksin untuk 82.8% populasi negara. Jumlah vaksin itu adalah sebanyak RM2.05 bilion tetapi akan diberikan percuma kepada rakyat Malaysia.

Tambahan 6.4 juta dos vaksin Covid-19

Foto: The Edge Marketers

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan baru sahaja memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, Astra Zeneca bagi memperoleh tambahan dos vaksin Covid-19 sebanyak 6.4 juta ataupun 10 peratus tambahan untuk populasi rakyat Malaysia.

Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan syarikat pengeluar vaksin iaitu Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan tambahan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM2.05 bilion melalui semua rundingan dan perjanjian yang sudah dan akan dimeterai buat masa ini. 

Menurut beliau, kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi.

Muhyiddin bakal terima suntikan vaksin Covid-19 terawal

Foto: Libur

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 itu bagi membuktikan dan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan. Beliau turut berkata, ini akan diikuti oleh ‘frontliners’ sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit kronik.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan akan memastikan bekalan vaksin diperoleh dengan keadaan segera. Jangkaan bekalan pertama akan diterima pada seawal Februari 2021.

Sumber: Berita Harian, Twitter Khairy Jamaluddin, Bernama.

SKIP THIS AD ×