Sebuah kereta api penumpang Ekspres Timuran yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Johor Bahru terpaksa dihentikan apabila enjin kereta api telah terbakar secara tiba-tiba.
Artikel Berkaitan: 26 Penumpang Terkorban, Puluhan Cedera Dalam Nahas Kereta Api Bertembung
Artikel Berkaitan: Terpaksa Patah Balik, Enjin Pesawat Lion Air Terbakar
Kepala kereta api
Difahamkan, dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, kereta api yang membawa seramai 296 penumpang itu baru sahaja bergerak dari Stesen Tanah Merah selepas mengambil penumpang.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, memaklumkan api tersebut muncul dari enjin di bahagian kepala kereta api selepas memulakan perjalanan dari stesen berkenaan. Bagaimanapun, kesemua 296 penumpang bersama kakitangan dilaporkan selamat.
Api tiba-tiba muncul di bahagian enjin ketika kereta api tiba di kawasan Taman Tasek Kiara iaitu kira-kira 500 meter dari Stesen Tanah Merah. Sepasukan 12 pegawai dan anggota bertungkus-lumus memadamkan api yang membabitkan kebakaran sebanyak 90 peratus.
Semua penumpang selamat, namun seorang penolong pemandu mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Tanah Merah serta dilaporkan stabil.
Di samping itu, para penumpang terkandas di Taman Tasek Kiara sementara menunggu pihak bomba mengawal kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan
Api dapat dikawal pada jam 11.50 malam manakala pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalankan kerja menunda bahagian gerabak yang terjejas.
Sumber: Berita Harian