Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini diberitahu siaran langsung Instagram memburukkan penyanyi, Siti Nordiana Alias menyebabkan artis itu dikecam orang ramai dan kontrak iklan dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.
Artikel Berkaitan: ‘Isu Tidak Diwakili Peguam Sepatutnya Tidak Timbul’ – Peguam Lan Solo, Syura Nafi Dakwaan
Artikel Berkaitan: Isu ‘Membawang’ Di Instagram: Siti Nordiana Saman RM2.5 Juta
Artikel Berkaitan: ‘Saya Perlu Pertahankan Maruah Apabila Nama Diheret Secara Terbuka’ – Siti Nordiana
Kontrak batal dan tidak disambung
Menurut saksi kedua yang juga pengurus kepada Siti Nordiana selaku plaintif, Mohammad Al Anas Osman, 39, berkata, antara kontrak iklan komersial dibatalkan serta dua lagi tidak disambung sebagai duta produk.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili defendan pertama, kedua dan ketiga, Mohammad Al Anas mengakui surat pembatalan kontrak diterima selepas Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman terhadap lima defendan itu.
Surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas ikatan dokumen diserahkan pada hari saman.
Dalam pernyataan saksi, Mohammad Al Anas memaklumkan, ejen pencari bakat ada bertanyakan situasi Siti Nordiana terhadap siaran langsung Instagram selepas nama selebriti itu diburukkan oleh lima defendan berkenaan.
Kesan paling utama nama baik plaintif dalam kalangan masyarakat terjejas teruk kerana siaran langsung Instagram melalui rakaman YouTube mencecah ratusan ribu penonton sehingga ke hari ini.
Kesan buruk jangka panjang pula membabitkan kontrak komersial yang sedang berkuatkuasa kerana pengusaha komersial ini secara umumnya meletakkan syarat am bahawa personaliti tajaan mereka hendaklah seorang yang tidak mempunyai isu kontroversi dan sentiasa berkelakuan baik.
Anas yang menjadi pengurus kepada Siti Nordiana sejak 2010 berkata, dia menerima banyak mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu.
Semua mesej yang diterima itu ialah pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook. Mesej daripada peminat plaintif (Siti Nordiana) terlalu banyak. Tetapi intipati mesej itu merujuk kepada siaran Instagram Live yang memburuk nama plaintif secara siaran langsung.
Difahamkan, perbicaraan di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan bersambung 30 Oktober ini. Terdahulu, Siti Nordiana memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.
Nana selaku plaintif menamakan Lan Solo, isterinya Nur Sheila Hassim, Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi sebagai defendan pertama hingga kelima.