Pelakon terkenal negara, Jaafar Onn mendedahkan bahawa dia sangat mengimpikan untuk menerbitkan semula sitkom terkenal era 90-an, Cili Padi.
Artikel Berkaitan: ‘Ini Semua Nak Buat Bisnes Kan?’ – Jaafar Onn Tak Setuju Pelitup Muka ‘Cop’ SIRIM
Masih mencari ‘funder’
Jaafar yang mesra dipanggil Papa mendedahkan bahawa inisiatif seperti skrip, jalan cerita yang baharu sudah dilakukan sejak beberapa tahun yang lalu namun, kekangan dari segi kewangan menyebabkan proses untuk menerbitkan semula sitkom berkenaan terbantut.
Sekitar 27 tahun yang lalu, saya mula terkenal dengan sitkom Cili Padi dan sehingga ke hari ini pun Cili Padi itu dikenali ramai walaupun rata-rata peminat sitkom berkenaan kini sudah meningkat dewasa. Jadi saya mengharapkan adanya sambungan bagi Cili Padi.
Tapi banyak syarikat yang belum lagi ke depan untuk membuat sambungan cerita ini, jalan cerita dah ada, pelakon pun dah sedia ada. Cuma sekarang ni masalahnya ialah ‘funder’ tiada.
Kami dah berjumpa dengan sebuah syarikat, berbincang bagaimana untuk memastikan cerita ini meletup tapi sampai sekarang masih belum ada jawapan.
Pelakon asal seperti Melissa Saila dan ramai lagi sudah bersetuju untuk bergabung semula jadi saya harap syarikat yang berminat janganlah risau untuk menerbitkan sitkom ini.
Jaafar mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui OhBulan! di pelancaran Restoran Pertama Jaafar Onn, Nasi Kukus Tonggek yang bertempat di Lot 10, Bukit Bintang, pada Khamis.
Dah ada stesen tv yang berminat
Bukan itu sahaja, Jaafar memberitahu bahawa terdapat stesen televisyen yang berminat untuk menyiarkan sitkom Cili Padi itu apabila ia sudah siap diterbitkan kelak.
Stesen tv pun dah ada, Astro berminat, TV3 pun berminat. Jadi jangan risau sebab sitkom ni memang dah ada stesen tv yang berminat nak siarkan.
Saya ni pula makin lama makin tua. Bila dah berusia ni saya tetap kena gah kan diri untuk terus berlakon. Walaupun dalam kepayahan, bila orang panggil untuk berlakon, saya akan pergi.
Untuk info, sitkom Cili Padi merupakan sitkom terkenal pada era 90-an yang bertemakan kekeluargaan dan membawa elemen komedi.
Selain Jaafar Onn, sitkom berkenaan turut dibintangi pelakon cilik hebat ketika itu seperti Melissa Saila, Bell Ngasri, Anne Ngasri, Tam dan ramai lagi.
Kini, Jaafar Onn sedang giat menjadi duta mempromosikan sebuah restoran bernama Nasi Kukus Tonggek menerusi live dan video di media sosial.