berita

‘6 Bulan Anak Merajuk’ – Ibu Luah Rasa Syukur Anak Akhirnya Setuju Terima Buah Pinggangnya

November 15th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Seperti yang kita sedia maklum, buah pinggang merupakan salah satu organ yang amat penting dalam tubuh badan manusia. Buah pinggang juga berfungsi untuk mencuci darah dari sisa buangan dan lebihan air yang diperlukan oleh tubuh badan seseorang. Oleh itu, setiap individu perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan buah pinggang supaya dapat mengelakkan daripada mendapat penyakit kronik.

Terbaru, seorang ibu, Mahani Moh Yusuf sanggup berkorban menderma salah satu buah pinggang kepada anak lelakinya, Muhammad Fakhirrullah Mohd Fazli yang menghidap penyakit tersebut.

Enam bulan kami bermasam muka

Menerusi Harian Metro, menurut wanita ini dia mengambil masa selama enam bulan untuk memujuk Fakhirrullah supaya menerima buah pinggang daripadanya sehinggakan mereka berdua bermasam-muka dan tidak bercakap antara satu sama lain.

Tambahnya lagi, pelbagai cara yang dilakukan anak lelakinya itu untuk menghalang ibunya daripada menjadi penderma buah pinggang.

Saya berdepan cabaran besar untuk memujuk anak yang tidak mahu menerima buah pinggang saya walaupun doktor mengesahkan organ saya sesuai untuk diberikan kepada anak.

Pelbagai cara dilakukan anak supaya saya membatalkan niat untuk menderma buah pinggang termasuk meminta saudara mara memujuk saya, memberontak, tidak bercakap dan enggan makan.

Berisiko terkena strok dan koma

Menurut wanita ini, dia nekad dengan keputusannya kerana tidak sanggup melihat darah daging sendiri terpaksa menanggung kesakitan lantaran usianya juga masih muda. Fakhirrulah disahkan menghidap penyakit buah pinggang yang kronik pada bulan Julai 2017 dan kedua-dua buah pinggangnya rosak hampir 80%.

Menceritakan kisah itu, Mahani turut meluahkan rasa sedih apabila melihat keadaan anak kesayangannya itu tiba-tiba diserang sawan dengan keadaan badan yang melentik, keras dan lidahnya terkeluar.

Anak diserang sawan berikutan tiada kalsium dalam badannya dan kemungkinan berdepan risiko terkena strok dan koma.

Buah pinggang suami tak sesuai

Selepas dia membuat pemeriksaan tanpa pengetahuan anaknya itu, doktor mengesahkan bahawa buah pinggangnya sesuai untuk menjadi penderma.

Alhamdulillah, kami selamat menjalani pembedahan pada 27 Ogos lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak kini boleh menjalani kehidupan seperti remaja lain. Saya langsung tidak menyesal, saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu untuk melihat anak sihat semula.

Sebelum ini, suaminya juga pernah melakukan pemeriksaan untuk menjadi penderma tetapi buah pinggangnya dikatakan tidak sesuai kerana dia menghidapi penyakit kencing manis.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×