berita

6 Filem P. Ramlee Yang Anda Tidak Akan Pernah ‘Muak’ Nak Tonton.. Butang Baju Aku Mana Pah!

March 23rd, 2018 | by Amat
Kini Trending

Hari ini genap usia 89 tahun hari kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Walaupun sudah tiada tetapi beliau terus dikenang dalam memberi sumbangan besar pada industri seni nusantara.

Sempena tarikh kelahiran P. Ramlee yang dilahirkan pada 22 Mac 1929, ini enam filem seniman agung yang anda tidak akan pernah jemu untuk tonton. Filem-filem ini masih segar dalam ingatan masyarakat kita.

Bujang lapok

Filem ini merupakan filem komedi arahan pertamanya. Beliau yang turut menerajui filem ini bersama Allahyarham S. Shamsuddin dan Allahyarham Aziz Sattar. Watak kanak-kanak bernama Ayu berjaya mencuit hati penonton dengan telatahnya yang sering meminta upah 20 sen sekiranya Sudin dan Zaiton mahu kanak-kanak itu mengunci mulut daripada memecahkan rahsia percintaan mereka.

Pendekar bujang lapok 

Filem ini merupakan filem kedua dalam siri Bujang Lapok yang masih mengekalkan trio kegemaran ramai iaitu Allahyarham P. Ramlee, Allahyarham S. Shamsuddin dan Allahyarham Aziz Sattar. Filem bergenre lucu ini mengisahkan tiga bujang terlajak iaitu Ramli, Ajis dan Sudin berguru dengan Wak Mustarjo, seorang guru silat. Pada masa yang sama mereka cuba memikat anak gadisnya, Ros, seorang guru disekolah buta huruf.

Pendekar Bujang Lapok berjaya mengungguli Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-6 pada tahun 1959.

Seniman bujang lapok

Aziz: Sudin, rumah yang kau cakap dulu tu dah ada orang tinggal belum?
Sudin: Rumah yang mana tu? Ooo.. rumah yang itu masih kosong lagi, kalau kita apply dapatlah
Aziz: Bagus juga ya, berapa bilik ada Din?
Sudin: Yang aku tengok ada tiga balik masih kosong
Aziz: Bagus ya Din tiga bilik, boleh kita seorang satu. Berapa besar agak-agaknya bilik itu?
Sudin: Besar tak berapa besar. Kalau tak silap aku, tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, tujuh kaki dalam
Aziz: Besar juga ya tu tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, ada dalam lagi ya.. Eh itu kubur! Tempat kau nak mampus, bahalol!

Ini merupakan filem siri Bujang Lapok ke-4 yang turut mengetengahkan komedi dan filem ini diterbitkan pada 1961.

Madu tiga

Karya popular yang diarah dan dilakonkan sendiri oleh P Ramlee, sehingga kini tidak pernah bosan untuk ditonton berulang kali. ‘Pergelutan’ antara ketiga-tiga isteri Jamil iaitu Latifah, Hasnah dan Rohani mewarnai filem yang berjaya meraih Filem Komedi Terbaik Seluruh Asia di Festival Asia ke-11 pada tahun 1964.

Ibu mertuaku

Kisah percintaan yang sungguh tragis antara Kassim Selamat dan Sabariah Mansor ini juga antara filem P. Ramlee yang masih dikagumi ramai. Pasti setiap penonton tahu babak paling sedih dalam filem ini, bukan? Kassim Selamat yang sanggup menusuk garfu ke matanya sendiri kerana tidak sanggup melihat lakonan hipokrit di sekelilingnya.

Lakonan hebat P. Ramlee membawakan watak utama itu diiktiraf sebagai pemenang anugerah Bakat Serba Boleh pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963.

Anakku Sazali

Ini merupakan salah satu filem P. Ramlee berperanan memegang ‘Dual Role’ watak. Filem ini diterbitkan pada 1956 dan bergenre melodrama. Karya ini mengisahkan mengenai percintaan antara lelaki dan perempuan, mengejar cita-cita dan kasihnya seorang ayah terhadap anak.

Satu kerugian buat anak-anak muda jika mereka masih belum berpeluang menonton antara karya agung seniman tersohor ini yang meninggalkan impak budaya perfileman hebat sehingga hari ini.

Credit: Astro Awani

SKIP THIS AD ×