Setelah hampir 8 tahun tidak terbabit dalam pementasan teater, pelakon Azhan Rani akhirnya membuat kemunculan menerusi naskhah ‘Andak Bertandak’.
Artikel Berkaitan: Tampilkan Abang POV Sebagai Pelakon, Teater ‘Andak Bertandak’ Temui Peminat 29 Ogos Hingga 1 September Ini
Kembali ke pentas teater selepsa 8 tahun
Ketika ditemui OhBulan!, Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani akui meskipun sibuk dengan penggambaran drama namun dia masih mencari masa untuk terlibat dalam pementasan teater Andak Bertandak ini.
Sebenarnya ini cubaan sangat getir, saya cakap dekat penerbit tak mampu nak buat sebab ada komitmen dengan penggambaran drama bersiri di Muar, Johor.
Ini pun saya ulang alik dari Muar ke Kuala Lumpur. Tapi mereka kata mereka akan cuba, alhamdulillah semua dilancarkan dengan izin Allah SWT.
Apabila ditanya bagaimana keserasian berada di satu pentas dengan pelakon baharu, Azhan berkata dia sangat suka dan selesa bekerjasama dengan mereka selain dapat berkongsi ilmu bersama.
Saya dah lama tak terlibat dengan teater dan sebenarnya saya seronok berlakon dengan pelakon baharu. Saya juga banyak belajar daripada mereka contohnya peredaran zaman.
Orang yang sanggup terima tawaran teater ni adalah mereka yang berani, nak cabar diri sendiri. Sebenarnya teater bukanlah tempat buat duit tapi memerlukan komitmen yang tinggi.
Dalam pada itu, aktor berusia 48 tahun itu akui melibatkan diri dalam pementasan teater adalah peluang yang baik buat para penggiat seni untuk mengasah bakat dan mencari kemahiran mereka.
Tak dinafikan, setiap kali kalau saya ke pentas teater, saya pasti akan dapat ilmu baharu.
Azhan berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media pementasan teater Andak Bertandak yang berlangsung baru-baru ini.
Sekadar info, Azhan bersama beberapa barisan pelakon hebat seperti Ellie Suriaty, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Riena Diana, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin bakal beraksi di pentas teater Andak Bertandak.
Buat para peminat teater, jangan lupa saksikan teater Andak Bertandak bertempat di KLPAC pada 29 Ogos hingga 1 September ini.
Anda boleh dapatkan tiket dengan harga bermula RM65, RM95, RM125, dan RM155 yang dijual secara atas talian di www.cloudjoi.com.