Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam seorang bapa sanggup melempar anak lelakinya berusia 2 tahun ketika cuba lari daripada ditahan polis. Kejadian berlaku di Kampung Fajar, Hulu Kelang apabila suspek bersama isteri dan anak lelakinya sedang duduk di atas motosikal sambil berbual bersama beberapa lelaki lain di hadapan sebuah kuil di situ dalam keadaan yang mencurigakan.
Melihat situasi tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Taman Melawati yang sedang melakukan rondaan pada waktu malam segera menghampiri kumpulan tersebut, namun mereka bertindak melarikan diri.
Anak dilempar 5 meter ke tanah
Gambar sekadar hiasan
Sejurus kejadian tersebut, suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga ke lokasi kejadian bagaimanapun motorsikalnya dikepung pihak polis sebelum mereka terjatuh. Suspek sempat menarik tangan anak yang duduk di raga bakul motosikal lalu menggendong sebelum cuba melarikan diri daripada kepungan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata gara-gara panik akibat dikepung polis, suspek bertindak melempar anaknya sejauh kira-kira lima meter ke atas tanah. Hal ini telah mengakibatkan kanak-kanak itu menggelungsur dan terkena pagar zink serta dawai sebuah rumah setinggan di situ.
Anggota kita bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu yang terbaring dan menangis kesakitan dan pada masa sama, suspek berjaya ditangkap. Bagaimanapun isterinya berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang dilakukan.
Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut dibawa ke balai polis sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar dan lebam pada belakang tubuhnya.
Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada waris yang dipanggil ke balai polis sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital.
Suspek positif dadah
Pemeriksaan mendapati motosikal Honda EX5 digunakan suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah tersebut pada bulan April lalu. Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.
Kita mengesyaki suspek terbabit dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini dan kita sedang jalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu. Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah termasuk satu rekod dikehendaki.
Sumber: myMetro