Media sebelum ini melaporkan mengenai cincin berlian merah jambu tidak dibeli oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dalam satu laporan.
Terbaru, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pula berita pengesahan tersebut sebelum ini.
Dibeli dari peniaga barang kemas New York
Akhbar Kosmo! melaporkan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik berkata, terdapat bukti jejak wang berkaitan bukti pembelian berlian bernilai RM94.62 juta (AS$ 23 juta).
Berlian itu dibeli daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ada transaksi pembelian
Menurut siaran media yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi PDRM itu, walaupun bukti tidak ditemui, namun mereka mempunyai transaksi pembelian sekaligus menafikan kenyataan Rosmah sebelum ini.
Walaupun berlian merah jambu itu tidak ditemui semasa pihak polis membuat serbuan, namun bukti yang terkumpul jelas menunjukkan wujud transaksi pembelian.
Dalam satu kenyatann kepada pihak media, Rosmah berkata dia memaafkan pihak yang membuat fitnah terhadapnya sebelum ini. Walaubagaimanapun dia meminta pihak terbabit meminta maaf kepada rakyat kerana isu itu dijadikan modal pilihan raya.