Acara Malaysia Tattoo Expo ‘dicemari’ insiden peragaan separuh bogel oleh peminat seni itu. Netizen menggesa supaya kerajaan bersuara memandangkan acara tersebut dianjurkan atas kapasiti Tahun Melawat Malaysia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Arah MyCeb siasat
Lapor Berita Harian, Menteri MOTAC Datuk Mohamaddin Ketapi, sudah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat insiden itu.
Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia melanggar ketatasusilaan. Saya sudah mengarahkan MyCeB untuk menyiasat perkara ini.
Penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara, tetapi bukan dengan cara sebegini. Ia tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan.
Tidak teragak ambil tindakan
Tambah Mohamaddin lagi, kementeriannya tidak pernah mengizinkan acara yang mengandungi peragaan separuh bogel seperti yang telah berlaku.
Adalah mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah seperti itu, sebab ia bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat adalah beragama Islam.
Kita akan menanti laporan penuh siasatan MyCeB dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan.
Tatto Malaysia Expo 2019 yang berlangsung pada 29 November sehingga 1 Disember, mengumpulkan peserta dari 35 negara.