Rakyat Malaysia pastinya tidak dapat melupakan detik hitam yang berlaku setahun lalu apabila wira negara, Muhammad Adib Mohd Kassim terkorban akibat daripada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya. Apa yang memilukan, Allahyarham disahkan meninggal dunia selepas tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) akibat kecederaan parah dalam tragedi yang berlaku pada 27 November tahun lalu itu.
Kematian Allahyarham Muhammad Adib sememangnya memberi kesan mendalam lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga dan tunangnya. Terbaru, seakan memperingati kematian Muhammad Adib, tunangnya, Nurul Najihah berkongsi satu status yang menyentuh hati.
Dia ada sesuatu yang lebih baik
Genap setahun pemergian arwah Muhammad Adib, Nurul Najihah melalui satu perkongsian ringkas di laman Facebooknya meluahkan rasa rindu terhadap arwah tunangnya hari ini.
Ketika Allah membuat kita menunggu, jangan pernah terfikir bahawa Dia tidak menyayangi kita. Ketika Dia mengambil apa yang kita sayang, jangan pernah anggap bahawa Dia menghukum kita. Dia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk kita.
Percayalah pada hikmahNya.
Perkembangan terbaru
Sementara itu, dalam satu perkembangan terbaru berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib, Sinar Harian semalam melaporkan bahawa pihak polis kini sedang mengesan 9 individu bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua individu terbabit merupakan saksi di lokasi kejadian.
Katanya setakat ini, polis juga telah merakam sebanyak 31 keterangan saksi termasuk polis, pakar perubatan dan saksi lain.
Sumber: Facebook Nurul Najihah, Sinar Harian