Peminat drama Korea pada zaman awal 2000 pastinya tahu dengan drama paling romantis pada ketika itu, iaitu Winter Sonata. Drama tersebut telah dibintangi oleh dua pelakon popular Korea iaitu Choi Ji Woo dan Bae Young Joon yang mana kini masing-masing sudah mendirikan rumah tangga bersama pasangan mereka.
Terbaru, pasti ramai yang gembira dengan berita ini apabila heroin bagi drama tersebut, Choi Ji Woo telah dilaporkan hamil anak pertamanya selepas berkahwin pada 29 Mac tahun lalu.
Dijangka bersalin Mei depan
Menerusi laporan Soompi, pada 23 Disember lalu, sumber daripada agensi pelakon itu iaitu YG Entertaiment mendedahkan bahawa aktres tersebut kini sedang hamil dan dijangka bakal melahirkan bayinya pada musim bunga nanti.
Dalam satu kenyataan, agensi tersebut juga berkata bahawa Ji Woo gembira dengan perkara tersebut dan sedang fokus untuk menjaga kandungannya.
Kami ingin menyampaikan khabar gembira. Aktress Choi Ji Woo akan menjadi seorang ibu sekitar Mei tahun depan. Beliau bersyukur dengan anugerah yang diberikan Tuhan kepadanya, dan pada ketika ini pelakon itu sihat dan sedang fokus untuk menjaga kandungannya.
Berusia 44 tahun
Pelakon itu disahkan hamil ketika usianya sudah mencecah 44 tahun. Beliau mendirikan perkahwinan bersama suami yang bukan dari golongan selebriti Korea.
Aktres jelita itu telah melibatkan diri dalam industri hiburan Korea sejak dari tahun 1994 dan mula menjadi terkenal selepas membintangi drama Winter Sonata dan Stairway to Heaven.