Peminat setia industri hiburan K-pop pastinya mengenali dua selebriti popular negara itu iaitu Heechul dari kumpulan Super Junior dan Momo dari kumpulan wanita terkenal, Twice. Sebelum ini, kedua-dua artis tersebut pernah digosip menjalinkan hubungan istimewa namun ia dinafikan sendiri oleh pihak mereka.
Bagaimanapun terbaru, portal Korea melaporkan kedua-dua selebriti tersebut sememangnya bercinta dan sudah mempunyai hubungan istimewa baru-baru ini.
Sokong karier satu sama lain
Selepas menafikan khabar angin bahawa mereka menjalinkan hubungan cinta pada Ogos tahun lalu, kini menurut laporan portal allkpop, agensi bagi kedua-dua artis tersebut mengesahkan bahawa Momo dan Heechul sedang hangat bercinta meskipun dalam kesibukan kerja masing-masing.
Pasangan itu juga dikatakan sangat menyokong karier satu sama lain dalam industri hiburan Korea ketika ini.
Dari hubungan senior-junior
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan agensi SJ dan JYP Entertainment, Heechul dan Momo mula bercinta baru-baru ini selepas menjadi rapat sebagai senior dan junior.
Hello, ini agensi SJ. Kami sudah mengesahkan dengan Heechul dan Momo dan mereka sudah menjalinkan hubungan istimewa baru-baru ini selepas rapat sebagai senior dan junior. Terima kasih.
JYP Entertainment yang merupakan agensi bagi Momo juga turut mengeluarkan kenyataan seperti berikut:
Hello, ini JYP Entertainment. Kami mengesahkan bahawa Heechul dan Momo sedang bercinta. Mereka menjalinkan hubungan baru-baru ini dari hanya sebagai senior-junior dalam industri. Terima kasih.
Tahniah diucapkan kepada pasangan baru ini!