Kerajaan sebelum ini menerima pelbagai kritikan daripada banyak pihak apabila mereka dikatakan memerlukan sejumlah 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan para menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Selain itu, 3,000 Honda Accord juga dikhabar diperlukan bagi kegunaan pegawai kerajaan yang mana ia telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan rakyat yang menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal.
Bagaimanapun, rakyat mungkin sudah menarik nafas lega pada hari ini apabila kerajaan memaklumkan bahawa Proton Perdana akan dikekalkan sebagai kenderaan rasmi buat menteri dan timbalan menteri.
Proton Perdana cukup
Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ketika kontrak pembekalan kenderaan diumumkan, pihaknya mendapat maklumat bahawa kereta Proton Perdana yang sedang menjadi kenderaan rasmi kerajaan tidak mencukupi, justeru pilihan diberikan dan disyorkan ialah Toyota Vellfire.
Bagaimanapun katanya, pihaknya telah mendapat pengesahan bahawa pembekalan Proton Perdana mencukupi justeru boleh dikekalkan bagi kegunaan menteri dan timbalan menteri.
Sebenarnya ia adalah pilihan. Kita mahu kekalkan Perdana tetapi kerana syarikat tidak keluarkan Perdana yang mencukupi bagi Menteri dan Timbalan Menteri, itu menjadi masalah.
Kita dapat pengesahan kereta Perdana mencukupi. Itu sebab kita akan kekalkan kereta Perdana untuk menteri dan timbalan menteri.
Kontrak baharu akan diumum selepas dimuktamadkan
Ujar Guan Eng, pemberian kontrak baharu tersebut akan diumumkan selepas dimuktamadkan jawatankuasa tender yang berada di bawah kementeriannya.
Ketika ditanya sekiranya kontrak yang sama turut membabitkan Spanco, Guan Eng bagaimanapun menolak perkara itu dan berkata ia akan diumumkan kemudian.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan melantik sebuah syarikat baru untuk membekalkan kenderaan berkenaan, selepas konsesi 25 tahun dengan Spanco Sdn Bhd tamat tahun lepas.
Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today