Kisah murid tahun satu, adik Nur Dinie Damia Muhammad Ain mendapat perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini apabila kanak-kanak itu didakwa kritikal dan dirawat di ICU sebuah hospital Johor Bahru dipercayai kerana dijangkiti influenza sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 13 Januari lalu. Bagaimanapun, susulan daripada kematian menyayat hati arwah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa ujian sampel klinikal mangsa adalah negatif bagi jangkitan influenza.
Seakan kurang senang dengan laporan akhir itu, seorang ahli keluarga Dinie menerusi laman Facebooknya meluahkan perkara tersebut yang seakan menafikan fakta bahawa kanak-kanak itu sememangnya dijangkiti influenza A.
Dinie seorang anak yang ceria
Hati ini masih belum dapat menerima perginya anak yang sangat-sangat lincah, aktif, bijak, peramah, periang dan yang sentiasa menghiburkan kami sekeluarga. Masih segar dalam ingatan kami sekeluarga dengan keletah dan gelagat dia mencuit hati kami semua.
Untuk pengetahuan semua, arwah Dinie seorang anak yang sihat, tiada sebarang penyakit. Abang dan kakak saya sentiasa pantau kesihatan anak-anak mereka. Bila demam sikit pun akan terus dibawa ke klinik untuk dapatkan rawatan segera. Bila terjadinya kejadian seperti ini, kami semua tidak dapat menerima kenyataan daripada demam biasa arwah terus kritikal. Apa puncanya?
Kami faham dan kami percaya pihak hospital telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan arwah tetapi Allah lebuh menyayangi beliau.
Saya wakil daripada abang dan kakak ipar saya Norazlina Ahmad merakamkan jutaan terima kasih buat semua kakitangan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dalam usaha menyelamatkan anak kesayangan ramai ini.
Terima kasih tanya khabar
Buat semua rakan-rakan, saudara mara, jiran-jiran dan teman yang mengenali kami sekeluarga atau tidak, saya mohon maaf kerana tidak dapat membalas satu persatu semua yang inbox dan text saya bertanyakan perkhabaran dan perkembangan arwah semasa di hospital.
Kami sekeluarga letih dan sibuk menguruskan bermacam-macam perkara dengan emosi kami yang tak tentu arah masa tu. Maaf sekali lagi dari pihak kami sekeluarga.
Buat seluruh warganet dan semua yang mengenali saya dan keluarga, jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas semua doa dan ucapan kalian. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan kebaikan yang berpanjangan.
Kecewa dengan berita yang tular
Kami seluruh keluarga terkejut dengan penularan berita mengenai arwah Dinie di media sosial. Niat saya ketika post tentang anak buah saya adalah untuk memohon doa daripada semua agar anak buah saya sembuh tetapi tidak sangka sehingga tular. Ada masa nanti saya ceritakan kronologi arwah Dinie ya.
Buat masa sekarang kami masih lagi bersedih dan kecewa dengan penularan kisah pemergian arwah yang dijangkiti influenza A tetapi dinafikan. Kami ahli keluarga tahu apa yang berlaku.
Kami seluruh ahli keluarga tiada niat untuk buat seluruh masyarakat panik tetapi kami nak semua orang supaya aware bahawa wabak ini adalah perkara yang serius. Kami hilang anak yang sihat, ceria dan aktif. Kami tak nak ada lagi kes seperti ini terjadi. Kami redha dengan kehilangan arwah Nur Dinie Damie. Arwah dah pun pergi berjumpa penciptaNya dan dah berlari-lari di syurga.
Sumber: Facebook Sitie Nurhaliza Dahalan