Baru-baru ini, seorang pelajar terpaksa berhadapan dengan detik cemas apabila sebatang anak panah tiba-tiba tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga. Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika pelajar lelaki itu bersama tiga rakannya menjalani latihan memanah di padang sekolah mereka.
Menerusi laporan Harian Metro, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah melakukan siasatan dalaman bagi menyemak prosedur operasi standard (SOP) sama ada dipatuhi atau tidak membabitkan kes pelajar tersebut.
Tindakan tegas bakal diambil
Kejadian yang berlaku pada 6 Februari lalu, membuatkan Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan satu kenyataan di mana mereka mengambil serius tentang kejadian yang menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun itu. Selain itu, KPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP terutamanya aktiviti membabitkan peralatan sukan yang boleh mendatangkan kecederaan.
Tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang. KPM juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes itu dan akur semua prosedur perundangan sedia ada.
Membantu mangsa dan keluarga
Tindakan segera di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah diambil untuk membantu mangsa dan keluarga terutamanya dari segi kebajikan, kaunseling dan tuntutan insurans. KPM akan terus memberi peringatan kepada jurulatih sukan khasnya dan semua guru amnya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar, sebelum, semasa dan selepas aktiviti atau latihan sukan dijalankan
Di samping itu, pihak pengurusan sekolah diingatkan agar memastikan setiap guru mengiringi anak murid di sekolah jika mereka hendak menggunakan peralatan sukan yang berisiko. Pelajar yang berusia 16 tahun itu dipercayai terkena anak panah yang dilepaskan oleh kawannya secara tidak sengaja kira-kira pukul 3.30 petang hari kejadian.
Sumber: Harian Metro