Anugerah Juara Lagu edisi ke-34 telah berakhir dan melabuhkan tirai dengan menyaksikan lagu Sumpah ciptaan Naim Daniel dan Omar K diangkat sebagai Juara AJL tahun ini. Tidak dapat dinafikan kesemua persembahan pada malam tersebut penuh dengan gimik dan kejutan buat penonton terutamanya kemunculan Datuk Sri Siti Nurhaliza.
Ini kami kongsikan 5 momen terindah dan gimik bagi AJL34 tahun ini. Last sekali tu paling win!
Persembahan pembukaan
Persembahan pembukaan AJL34 tahun ini dipimpin guru vokal terkenal iaitu Datuk Syafinaz Selamat. Persembahan ini diserikan dengan ramai penyanyi termasuk Adibah Noor, Lah Ahmad, Black, Hazami, Sarah Suhairi dan ramai lagi. Mereka membawakan lagu yang pernah tercalon untuk Juara Lagu untuk penonton mengimbau nostalgia lama.
Gimik Anta Permana
Persoalan tentang kehadiran penyanyi nombor satu Malaysia di pentas AJL sudahpun terjawab. Datuk Sri Siti Nurhaliza tampil membuat gimik dan bernyanyi bersama Bob Yusof. Kehadiran penyanyi asal Anta Permana ini mendapat jeritan dan tepukan gemuruh dari penonton di Axiata Arena. Lagu Anta Permana ini mendapat tempat ke-3 buat AJL34.
Penampilan Datuk Rosyam Noor
Sementara itu, Haqiem Rusli menerusi lagu ciptaan sendiri iaitu Lembah Kesepian menampilkan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor sebagai ‘ayah’ di dalam persembahan ini. Rosyam Nor juga mendeklamasikan puisi sebagai salah satu elemen persembahan Lembah Kesepian itu. Malah, persembahan ini turut membuatkan ramai penonton mengalirkan air mata dan tersentuh dengan penyampaian Haqiem Rusli.
Romantisnya Hafiz
Hafiz Suip kembali merangkul anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Kisah Cinta Kita. Persembahan dari penyanyi ini juga romantis habis! Dia sempat memainkan video akad nikah sebagai salah satu elemen romantis demi menyampaikan kisah dari lagu ini yang ditujukan khas buat isteri tercinta.
Persembahan ‘deep’ Drama Band
Drama Band boleh dikatakan ‘deep’ dan berani mengetengahkan sindiran mirip beberapa individu di dalam persembahan mereka. Jika anda mengamati persembahan Drama, pasti anda geli hati dengan setiap kejutan yang ditampilkan band ini. Turut ditampilan beberapa individu mirip dewi remaja, penceramah bebas dan menteri di dalam persembahan.
Persembahan terbaik: Hafiz Suip
Vokal terbaik:Hafiz Suip
Tempat ketiga: Anta Permana – Ezra Kong & Hael Husaini
Tempat kedua: Bangun – Aman Ra
Anugerah Juara Lagu: Sumpah – Naim Daniel & Omar K