Konflik politik Malaysia berlanjutan sehingga ke hari ini apabila kesemua ahli parlimen dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong seorang demi seorang di Istana Negara. Beberapa hari lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan diikuti peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir.
Oleh hal demikian, timbul persoalan yang menjadi tanda tanya kepada rakyat sama ada wajar untuk membubar kabinet atau melantik menteri kabinet baru dengan kadar segera. Menerusi Buletin TV3, beberapa orang penganalisis politik memberi pandangan dan berpendapat pembubaran parlimen antara langkah yang sesuai.
Ingin pilihan raya baru diadakan
Hasil dari undian melalui akaun Facebook Buletin TV3, lebih dari 26 ribu undian dengan peratusan 71 peratus daripada jumlah undian memilih untuk membubarkan parlimen yang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan. Selebihnya sebanyak 29 peratus sahaja yang mahukan barisan menteri kabinet dilantik dengan kadar segera. Keputusan yang hampir sama turut diperoleh menerusi Twitter Buletin TV3.
Menelan belanja yang tinggi
Datuk Dr Ismail Sualman selaku penganalisis politik berpendapat bahawa keruntuhan kerjasama Pakatan Harapan memberi kesan terhadap pembubaran parlimen. Di samping itu, kerjasama baharu juga boleh dibentuk daripada 222 ahli parlimen yang sedia ada bagi mencari majoriti sokongan.
Tambahnya lagi, kestabilan senario politik negara perlu di utamakan. Antara faktor perbelanjaan besar serta memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk mengadakan semula proses pilihan raya perlu dipertimbangkan.
Sumber: Buletin TV3