Semalam, industri hiburan Bollywood dikejutkan dengan satu berita sedih atas pemergian seorang pelakon yang sangat berbakat iaitu Irrfan Khan. Terbaru, dunia dikejutkan sekali lagi dengan berita pemergian legenda Bollywood iaitu Rishi Kapoor.
Meninggal sebab kanser
Menerusi laporan India Today, pelakon filem Bobby yang berusia 67 tahun itu meninggal dunia akibat kanser. Beliau meninggal dunia di hospital di Mumbai, India pagi semalam. Rishi dipercayai dibawa ke hospital berkenaan oleh ahli keluarganya selepas tahap kesihatannya semakin merosot.
Manakala menurut Khaleej Times, Rishi dipercayai pulang semula ke India selepas menjalani rawatan kanser di Amerika Syarikat selama setahun. Sebelum ini, Rishi seorang yang sangat aktif di akaun Twitternya. Bahkan, beliau dijangka kembali ke set penggambaran filem terbaharu bersama Deepika Padukone. Namun siapa sangka, beliau telah pergi buat selama-lamanya.
Luahan sedih rakan dan peminat
Berita pemergian Rishi Kapoor ini telah mengejutkan ramai. Rata-rata rakan artis dan para peminat turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan salam takziah atas pemergian seorang pelakon yang sangat terkenal dan berbakat ini.
Sumber: India Today & Khaleej Times