Akibat pandemik Covid-19, Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa yang pertama bermula 18 Mac yang lalu. Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sepanjang tempoh PKP, petugas barisan hadapan yang bekerja di hospital dan pusat kesihatan berhempas pulas bagi melawan pandemik Covid-19 ini. Menerusi Facebook Dr Ahmad Zakimi Abdullah, berkongsi kisah dirinya dan rakan-rakan yang bertugas sebuah di sebuah hospital merawat pesakit Covid-19 sepanjang tempoh PKP.
Perasaan sukar dilupakan
Mendengar pengumuman khas PM kita sebentar tadi aku terus teringat peristiwa-peristiwa yang dilalui.
Tanggal 18hb Mac 2020 bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama akibat pandemik COVID-19 melanda negara kita. Banyak memberi kesan kepada kita semua termasuk aku sendiri.
Sesuatu yang paling menakutkan ketika aku lakukan intubasi kepada pesakit SARI (severe acute respiratory infection) yang disyaki COVID-19. Perasaan yang paling tak dapat aku lupakan sepanjang tempoh itu sebagai frontliner.
Penat, tertekan, takut, risau, semua bercampur baul. Tangisan itu pasti tak dapat ditahan setelah mendapat berita kes yang kami uruskan termasuk lakukan prosedur intubasi berkeputusan positif COVID-19.
Sedih taku dikuarantin
“Alamak! Patient yang kita intubate 3 hari lepas kat SARI zone positif lah. Patient tu passaway kat ICU. Baru dapat info ni.”
Aduss! Kami memandang satu sama lain. Kemudian kami terdiam. Mata berkaca. Kenapa kami sedih? Kerana takut di kuarantin. Apa yang bermain dalam fikiran ketika itu ialah khuatiri tak dapat berkhidmat sebagai frontliner melawan COVID-19 dalam tempoh kuarantin.
Khuatir jika ramai kakitangan kena kuarantin akibat terdedah dengan pesakit, Jabatan Kecemasan kami akan lumpuh. Setiap kali mendapat keputusan pesakit COVID-19 positif terus kami membilang kakitangan yang terlibat. Risau jabatan kami ‘down’. Kami menangis.
Ed aku down bro
“ED aku down bro,” ujar rakan dari hospital lain – Dia menangis.
“Sabar bro. Ada apa-apa boleh kami tolong?”
“Down bro. Down… maafkan aku bro.. kami dah tak boleh buat apa dah. Aku sendiri pun positif.“ semakin kuat esakan tangisan beliau.
Masih teringat-ingat luahan rakan seperjuangan. Aku sendiri mata berkaca ketika itu. Tak mampu menolong rakan-rakan hospital lain.
Teruskan norma baharu
Alhamdulillah, hari ini kita mendengar pengumuman khas Tan Sri Mahyuddin Yasin, Perdana Menteri kita tentang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), berkuatkuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos. Rasa seperti negara kita baru saja merdeka. Terasa bebas.
Cuma pesanan aku teruskan dengan norma baharu seperti yang disarankan:
1) Elakkan 3C (Crowded place, Confined space & Close conversation)
2) Amalkan 3W (Wash, Wear & Warn)
3) Terus patuh kepada S.O.P
4) Muat turun aplikasi MySejahtera untuk membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia
– CPRC KKM
Tanggungjawab kita semua mengawal penularan COVID-19. Kita jaga kita, guys. Kita pasti menang.
Sumber: Dr Ahmad Zakimi Abdullah