Jika sebelum ini, pelumba basikal trek profesional Malaysia, Azizul Hasni Awang memuat naik posting mengenai ayahnya yang terlantar sakit akibat strok kecil sejak beberapa tahun yang lalu. Terbaru, adiknya iaitu Mohamad Asieff memuat naik satu video mesra bersama ayah tercinta sehingga viral di media sosial.
Ini kisah syurgaku
View this post on Instagram
Masa Hari Ibu haritu aku diam je,sedih dah lame tak merasa ada ibu. So Hari Bapa ni aku nak balas balik.Walaupun Ayoh dok pernoh kenal dan ingat anok bongsu ni akibat stroke tapi aku tahu ayoh sentiasa sedor kehadiran aku. Enjoy my video dan semoga menjadi tauladan kepada anda semua untuk menghargai Ayah ketika mereka masih ada.Selamat Hari Bapa Pok Awang. “Allahummaghfir lii wa liwaalidaiyya warhamhuma kama rabbayanii shaghiraa” Ya Allah,ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan sayangilah keduanya sebagaimana mereka menyayangi aku ketika kecil.Aamin Ya Rabbal.
Menerusi temuramah bersama OHBULAN, Asieff memberitahu ayahnya sakit sejak 2017 dan sudah menjaga ayahnya sejak tiga tahun yang lalu. Ditanya bagaimana dia terdetik untuk menjaga ayah yang sakit, pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM) itu memberitahu ayahnya banyak berkorban dan tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit untuk mereka sembilan orang adik beradik. Jelasnya lagi, ayahnya langsung tidak pernah merungut.
Bila ayah dah sakit ni, saya rasa dah sampai masa kami pula adik beradik yang balas jasa ayah untuk jaga dari atas sampai bawah.
Mak ayah berhak dihargai
Apabila disoal mengenai perasaannya sebaik sahaja video bersama ayah tercinta menjadi viral, Asieff memberitahu dia sangat terkejut dan tidak menyangka ramai orang menyukai video tersebut.
Saya tengok ramai orang macam just upload story dengan ayah ucap Father’s Day dan kadang-kadang hanya post gambar. So, saya nak buat kelainan sikit dari orang lain. Jadi, saya buat video dengan ayah saya ni. Saya nak tunjuk dekat semua orang yang mak ayah kita juga berhak dihargai lebih daripada segalanya. Ada orang buat video dengan teman lelaki, teman wanita jadi, tak salah sekali sakala buat video dengan mak ayah.
Sebagai anak bongsu, Asieff turut berkongsi kenangan paling indah bersama ayah tercinta. Ujarnya, ayahnya seorang yang suka berjalan-jalan dan kenangan berjalan-jalan bersama semua ahli keluarga merupakan kenangan yang paling indah buatnya.
Setiap kali cuti, kami adik beradik akan berkumpul dan pusing satu Malaysia. Namun, sejak ayah sakit ni kami dah kurang pergi bercuti. Masa yang terluang kami adik beradik akan pulang ke kampung dan menghabiskan masa dengan ayah sahaja.
Masih buat rawatan
Mengenai tahap kesihatan ayahnya, Asieff memberitahu ayahnya masih menjalani rawatan rehab untuk kuatkan semula memori ingatan dan fizikal badan. Setiap dua minggu mereka akan membawanya ke Hospital Dungun. Ayahnya juga masih bergantung dengan sejenis ubat yang dikenali sebagai warfarin (ubat cairkan darah).
Di akhir temuramah bersama OHBULAN, Asieff turut meninggalkan beberapa pesanan khas buat semua anak-anak yang mempunyai ibu dan ayah yang menghidap penyakit yang sama.
Pesanan saya untuk semua anak-anak, banyaklah bersabar dan jangan putus asa untuk jaga ibu ayah. Kalau dia marah janganlah lawan, jangan tinggi suara sebab dia marah bukan kehendak dia, sebab penyakit ini kacau memori ingatan. Pastikan segala keperluan mereka cukup. Jangan malu nak mandikan mereka, jangan malu nak cuci najis mereka.
Bukan orang lain pun mereka ayah ibu kita juga. Satu lagi nasihat penting, tolong habiskan masa bersama mereka kerana mereka memerlukan perhatian anak-anak. Ayah saya masa sakit ni, selalu sebut nama anak-anak. Oleh itu, baliklah kampung selalu.
Sumber: Mohamad Asieff