Di Facebook, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada balkoni tingkat satu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah semalam.
Artikel Berkaitan : Tak Sangka Itu Petanda Abah Akan Tinggalkan Kami…’ – Guru Maut Jatuh Balkoni, Anak Luah Rasa Sebak
Menerusi posting dimuat naik, Dr Mohd Radzi juga sempat menyertai solat jenazah bersama ratusan jemaah yang hadir pagi tadi.
Semoga rohnya dicucuri rahmat
Allahyarham Cikgu Rosli bin Abd. Aziz, guru di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan. Arwah terlibat dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja akhir bagi persiapan pembukaan semula sekolah. Seluruh warga KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. Amin.
Dari Parlimen jam 7:00 petang tadi kami berkereta ke Tanah Merah, Kelantan, untuk menziarah keluarga Arwah Cikgu Rosli bin Abd. Aziz, guru di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah. Kami sampai di Hospital Tanah Merah sebelum tengah malam dan sempat bertemu isteri dan anak-anak arwah. Warga KPM kehilangan besar seorang guru yang berdedikasi. Kami doakan semoga keluarga arwah tabah menghadapi ujian ini.
Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi status di Facebook turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT. Beliau juga sempat menziarah keluarga arwah di Tanah Merah, Kelantan dan menyertai solat jenazah arwah di Masjid Besar Tanah Merah, subuh tadi.
Ratusan jemaah menyertai solat jenazah
Alhamdulillah, usai solat subuh pagi tadi, ratusan jemaah turut menyertai solat jenazah Arwah Cikgu Rosli bin Abd. Aziz di Masjid Besar Tanah Merah. Kami dimaklumkan oleh imam Masjid, antara hajat arwah adalah agar jenazah beliau disolatkan di Masjid Besar Tanah Merah. Kemudian, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pondok Lama, Tanah Merah untuk dikebumikan. Semoga seluruh ahli keluarga arwah diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian ini.
Terdahulu, arwah terbabit dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja akhir bagi persiapan pembukaan semula sekolah hari ini. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berusia lima hingga 21 tahun.
Sumber: Dr Mohd Radzi