Hari ini viral apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP). Laporan itu telah menimbulkan reaksi negatif sebilangan besar penghasil filem, serta netizen di laman sosial termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Artikel Berkaitan : Selebriti Media Sosial, Netizen Kurang Setuju Arahan Wajib Mohon Lesen Penggambaran FINAS
Terbaru, Menteri KKMM memberi penjelasan berhubung isu ini selepas menerima kritikan orang ramai. Menurutnya, dia hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada bukan berkaitan dengan mana mana parti.
Hanya menjawab soalan
Ketika menjawab soalan itu, saya hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981.
Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota juga menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial.
Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya.
Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah berniat menggunakan Akta itu untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial.
Akhir sekali, pihak KKMM berharap agar orang ramai tidak tersalah anggap dan pihak mereka terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.
Sumber : KKMM