Sebelum ini, kisah seorang penunggang wanita yang kehilangan motosikalnya ketika bekerja mendapat perhatian ramai. Motosikal miliknya dipercayai telah dicuri di Giant Batu Caves dan paling menyedihkan apabila motosikal itu baru sahaja dibeli olehnya.
Artikel Berkaitan: Motor Akak Panda Pun Kau Rembat….
Terbaru, mangsa yang dikenali sebagai Nur Athirah, telah mendapat sebuah motosikal baharu menggantikan motosikalnya yang telah dicuri itu.
Dapat motosikal baharu
Foto: Selangor Royal Office
Menerusi posting di Facebook Selangor Royal Office, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi Baginda berupa sebuah motosikal kepada mangsa. Motosikal tersebut diberikan oleh Baginda menggantikan motosikalnya yang telah dicuri ketika sedang melakukan kerja penghantaran makanan.
Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang mangsa.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
Sama-sama mendoakan
Foto: Selangor Royal Office
Di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini. Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat berperikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
Tidak berakhir di situ, baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah S.W.T.
Alhamdulillah!
Menerusi ruang komen, rata-rata warganet mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh Tengku Permaisuri Selangor dan berharap gadis tersebut menjaga motosikal tersebut dengan sebaik mungkin.
Sumber: Selangor Royal Office