Foto: Irish News
Migrain sering menjadi penyebab sesuatu tugasan harian terganggu. Ia merupakan sakit kepala yang menyerang secara berulang. Biasanya, migrain menyerang di sebelah bahagian kepala, kemudian berlarutan ke kedua-dua bahagian kepala. Ia juga boleh menyebabkan gejala seperti pening, loya, muntah dan cirit-birit.
Serangan migrain berlaku apabila saluran darah dalam kepala mengembang lebih besar daripada biasa. Urat saraf yang mengesan rasa sakit pada dinding saluran darah akan terangsang dan menghantar isyarat sakit ke otak. Migrain selalunya berpunca daripada tekanan, pengambilan alkohol, tidak cukup tidur dan merokok. Untuk mengawal migrain, anda boleh ikuti langkah-langkah ini.
Kenal pasti punca migrain
Foto: Medical News Today
Langkah pertama untuk mengawal migrain adalah dengan mencatat bila migrain menyerang anda. Ini bertujuan untuk mengenal pasti punca dan petunjuk bagi mengelakkan perkara yang mendatangkan migrain kepada anda. Dengan adanya catatan, ia dapat membantu doktor memberi jenis ubat yang bersesuaian dengan anda.
Selain itu, catatan yang dibuat juga boleh membantu anda mengurangkan pengambilan ubat ubatan yang melemahkan fizikal dan mental seperti kemurungan atau darah tinggi.
Urutan kepala
Foto: Medical News Today
Mengurut kepala adalah petua menghilangkan migrain yang paling berkesan. Urutan untuk migrain biasanya dimulakan di bahagian bahu dan seterusnya leher, belakang telinga dan kepala. Menarik rambut untuk melepaskan haba yang terkumpul juga berkesan. Ini bertujuan untuk membaiki perjalanan darah di kepala anda.
Urutan kepala juga boleh membuatkan anda lebih tenang dan selesa. Selain itu, ia dapat membantu menghilangkan stres yang menjadi punca kepada migrain.
Duduk dalam suasana yang tenang dan gelap
Foto: Healthline
Apabila diserang migrain, segera berehat di dalam bilik yang gelap dan tenang. Cahaya yang terlalu terang boleh menjadi punca migrain kerana silau. Oleh itu, suasana yang gelap boleh membantu anda untuk tenangkan urat mata dan kepala anda.
Suasana yang tenang, sejuk dan selesa juga membantu menghilangkan migrain. Ini kerana suasana yang bising dan merimaskan akan menyebabkan migrain anda menjadi semakin teruk dan berpanjangan.
Pemakanan yang sihat
Foto: Healthline
Makanan dan minuman yang sihat sering menjadi penyelesaian bagi penyakit seperti migrain. Punca yang selalunya mengakibatkan serangan migrain adalah makanan yang mengandungi MSG, coklat, daging, keju, kafein dan alkohol. Sekiranya anda mahu mengelakkan masalah migrain, anda dinasihatkan supaya menjauhi makanan yang tidak sihat.
Selain itu, anda juga dinasihatkan mengambil makanan semula jadi yang dapat memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan. Ini termasuk epal hijau atau cuka epal. Satu sudu cuka epal yang dicampurkan dengan segelas air suam dapat menghilangkan migrain dengan cepat.
Lakukan senaman berintensiti rendah
Foto: Healthline
Aktiviti fizikal seperti bersenam dengan berintensiti rendah dapat membantu mengurangkan migrain dengan berkesan. Namun, bagi sesetengah orang, bersenam dengan berintensiti tinggi boleh menjadi punca migrain. Dinasihatkan supaya anda bersenam dengan intensiti yang rendah kerana ia dipercayai dapat mempengaruhi kekerapan serangan migrain.
Selain itu, ia juga dapat membantu menurunkan tekanan darah dan mengelakkan stres yang menjadi punca kepada serangan migrain.
Sumber: Bidadari.my, Myhealth.