
Dalam dunia program realiti nyanyian, gelaran juara sering dianggap sebagai tiket utama menuju populariti. Namun, hakikatnya bukan semua pemenang berjaya mengekalkan momentum selepas pertandingan berakhir.
Sebaliknya, ada peserta yang sekadar bergelar naib juara atau finalis, tetapi berjaya menipta nama yang lebih besar menerusi karya berkualiti, pencapaian di pentas anugerah dan pengaruh yang kekal industri muzik tanah air.
Artikel Berkaitan: Nama Lebih Dikenali Berbanding Juara & Naib Juara, Aisha Retno Anggap Rezeki Sudah Tertulis – ‘Jaga Hubungan Dengan Peminat Juga Penting’
Artikel Berkaitan: ‘Memang Kurang Tawaran Berbanding Auddra & Thalita, Tapi Saya Buat Kerja Belakang Tabir’ – Marsya Qistina
5 penyanyi buktikan kekalahan adalah permulaan
1. Faizal Tahir – Naib Juara One In A Million Musim 1

Walaupun tewas kepada Suki Low dalam musim pertama One In A Million pada 2006, Faizal Tahir membuktikan dia tidak memerlukan gelaran juara untuk mencipta nama.
Selepas pertandingan itu, Faizal muncul dengan deretan lagu hit yang masih menjadi siulan peminat sehingga kini seperti Mahakarya Cinta, Gemuruh, Assalamualaikum, Sampai Syurga dan Ragaman
Bukan sekadar penyanyi, Faizal turut dikenali sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit muzik yang melahirkan lagu popular untuk artis tempatan.
Kejayaannya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) serta pengaruh besar dalam industri menjadikannya antara figura muzik paling disegani di Malaysia. Faizal juga menerima pengiktirafan Anugerah Ikon AJL 40 atas sumbangannya sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik dan mentor yang banyak melahirkan generai baharu industri seni.
2. Shila Amzah – Naib Juara One In A Million Musim 2

Shila Amzah hanya muncul sebagai naib juara One In A Million musim kedua, namun perjalanan kerjayanya selepas itu jauh lebih melangkaui sempadan Malaysia.
Perjalanan Shila mencipta sejarah apabila menjuarai pertandingan nyanyian Asian Wave di China pada 2012, tempat ketiga program I Am A Singer musim kedua 2014 sekali gus membuka peluangnya aktif menyanyi Mandarin di Hong Kong, China.
Sementara itu, Shila pernah memenangi kategori utama Anugerah Industri Muzik ke-19 (2012) iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi karya ciptaannya, Patah Seribu. Shila juga pernah menjuarai AJL ke-36 menerusi lagu Pelukan Angkasa bersama kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Malah, Shila turut merakam semula lagu hitsnya, Memori Tercipta dalam bahasa Mandarin dalam album SA25 tahun ini. Selain Yuna, Kejayaan Shila juga menjadikannya antara penyanyi Malaysia yang berjaya di peringkat antarabangsa.
3. Aina Abdul – Naib Juara Mentor Legend

Sebelum dikenali sebagai antara vokalis terbaik negara, Aina Abdul pernah menyertai Mentor Legend dan menamatkan pertandingan sebagai naib juara. Walaupun tidak bergelar juara, Aina terus mengembangkan bakat sebagai penyanyi, penulis lagu dan komposer.
Nama Aina semakin kukuh menerusi lagu-lagu seperti Sepi, Semalam, Puas Sudah, Terus Hidup dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, Aina turut melebarkan sayapnya menerusi kolaborasi lagu duet bersama penyanyi terkenal Indonesia, Fabio Asher (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu) dan Fadhilah Intan (Arah Cinta Sejati).
Bukan itu sahaja, Aina turut melakar sejarah manis dalam perjalanan seninya apabila meraih gelaran penyanyi wanita pertama berjaya memenangi kesemua kategori trofi utama di pentas Angerah Juara Lagu (AJL) seperti vokal terbaik, juara lagu dan persembahan terbaik.
Selain itu, Aina turut mencipta kenangan manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 dengan meraih 8.8 juta undian peminat, sekali gus merangkul gelaran Penyanyi Wanita Popular ABPBH.
4. Aisha Retno – Tempat Ketiga Big Stage 4

Aisha Retno mungkin tidak muncul sebagai juara Big Stage 4 (2022), namun pencapaiannya selepas pertandingan membuktikan bakat dan kreativiti mampu membawa seseorang lebih jauh. Siapa sangka, perjalanannya yang bermula daripada program Vokal Mania 2020 merangkul gelaran Juara Rookie mula melebarkan sayap Aisha hingga kini.
Penyanyi berdarah campuran Malaysia-Indonesia itu semakin menyerlah menerusi lagu ciptaannya sendiri seperti Sutera, Tak Adil, Jodoh Lebaran, W.H.U.T, selain turut meledak secara duet bersama Aziz Harun dalam lagu Ketipak Ketipung Sayang, dan Kota Ini Tak Sama Tanpamu yang turut berkolaborasi bersama Nadhif Basalamah.
Kemuncak pencapaiannya apabila lagu Sutera mara ke pentas AJL ke-38, sekali gus berjaya membawa pulang trofi dan gelaran naib juara serta persembahan terbaik.
5. Hael Husaini – Mentor (2008), Akademi Fantasia secara duo ‘Azhael’ (2013)

Sebelum bergelar antara komposer paling berjaya di Malaysia, Hael Husaini pernah melalui beberapa percubaan dalam program realiti. Hael menyertai Mentor pada 2008 sebelum kembali bertanding dalam Akademi Fantasia sebagai anggota duo Azhael dan muncul sebagai naib juara.
Selepas bergerak secara solo, kerjaya Hael berkembang dengan pesat. Lagu-lagu seperti Jampi, Haram (duet bersama Dayang Nurfaizah), melonjakkan namanya sebagai penyanyi.
Manakala, lagu hasil ciptaannya untuk penyanyi lain turut memenangi pelbagai anugerah termasuk di pentas AJL. Keupayaannya menghasilkan lagu hit secara konsisten menjadikan Hael antara selebriti paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan.
Sebagai pengiktirafan tertinggi sepanjang hampir dua dekad bergiat aktif, Hael telah dianugerahkan trofi khas Anugerah Ikon AJL 40 atas kejayaannya mencorakkan landskip muzik, melahirkan karya-karya berimpak tinggi serta sumbangannya melahirkan generasi baharu penggiat seni.








