![[VIDEO] Diva M Hadiah Kereta RM100,000 Kepada Pekerja Setia](https://asset.ohbulan.com/2026/10/diva-M-4.jpg)
Usahawan dan pempengaruh, Diva M, memberikan kejutan kepada seorang pekerja yang sudah lebih lima tahun berkhidmat dengannya apabila menghadiahkan sebuah Honda Civic hatchback bernilai kira-kira RM100,000.
Artikel Berkaitan: Diva M Amal Kongsi Rezeki Setiap Jumaat – ‘Tak Perlu Tunggu Ada Banyak Baru Hendak Memberi’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Diva M Syukur Tak Buang Alat Kelamin, Kembali Ke Fitrah Selepas 15 Tahun Pakai Implan Payudara
Hargai kerja keras pekerja – Diva M

Lebih istimewa, kenderaan berkenaan dibayar penuh secara tunai selain dokumen pemilikan turut diserahkan kepada penerima, Wany.
Penghargaan itu disampaikan sempena majlis ulang tahun kelapan anak perempuannya yang diadakan di sebuah hotel lima bintang di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Hadiah tersebut diberikan kepada Wany sebagai tanda terima kasih atas khidmat dan kesetiaannya selepas lebih lima tahun bersama.
Menurut Diva M, kejayaan membina perniagaan bukan hasil usaha seorang diri, sebaliknya turut didukung kakitangan yang menggalas pelbagai tanggungjawab termasuk pengurusan salun, produk dan operasi harian.
Justeru, dia mahu mereka turut merasai hasil usaha tersebut apabila mempunyai rezeki lebih untuk dikongsi.
Saya sangat menghargai orang yang setia bersama saya. Mereka ada ketika susah dan senang, sama-sama bekerja dan membantu memastikan perniagaan ini terus berjalan. Banyak tanggungjawab yang mereka pikul setiap hari.
Apabila ada rezeki lebih, saya mahu mereka turut merasai kegembiraan itu. Saya tahu usaha membina perniagaan ini turut dibantu oleh pasukan yang sentiasa memberikan kerjasama.
Diva M berkata, pemberian kereta berkenaan turut mengambil kira keinginan Wany yang sememangnya mengimpikan Honda Civic hatchback.
Katanya, dia berasa gembira apabila berpeluang merealisasikan impian pekerjanya itu, selain berharap kenderaan berkenaan dapat memudahkan urusan harian Wany.
Saya tahu itu kereta yang dia idamkan. Apabila ada kemampuan untuk tunaikan, saya rasa gembira dapat berbuat demikian. Saya harap pemberian ini dapat memudahkan urusannya dan memberi manfaat untuk dirinya serta keluarga.
Saya faham hendak bekerja dan mencari rezeki bukan mudah. Kalau berdepan masalah pengangkutan, hendak pergi balik kerja dan menguruskan keperluan harian pun boleh menjadi susah.
Kejutan itu diatur selepas tetamu selesai menikmati jamuan apabila Diva M mengajak mereka turun ke lobi kononnya untuk bergambar beramai-ramai.
Namun, sebaik tiba di hadapan hotel, Wany terlihat Honda Civic hatchback yang dihiasi belon merah serta namanya.
Terkejut dengan kejutan itu, Wany terus menangis sebelum sempat Diva M menjelaskan mengenai pemberian tersebut.
Saya memang tidak tahu apa-apa. Ingatkan turun untuk bergambar sahaja. Bila nampak kereta dengan belon nama saya, terus saya menangis walaupun belum ada sesiapa cakap apa-apa.
Saya sangat terharu dan rasa dihargai.
Selain hampir 20 kakitangan, majlis berkenaan turut dihadiri kenalan rapat termasuk pengarah, Michael Ang dan usahawan, Kak KM sekeluarga.
Bukan kali pertama bagi hadiah

Menurut Diva M, pemberian kereta kepada Wany bukan kali pertama dia menghadiahkan kenderaan kepada kakitangannya.
Katanya, beberapa pekerja sebelum ini turut menerima pemberian seumpama itu, manakala mereka yang mempunyai keperluan berbeza boleh memilih hadiah yang lebih sesuai.
Ada yang mahukan kereta, ada juga yang memilih perkara lain kerana itu yang lebih diperlukan. Keperluan setiap orang berbeza, jadi saya cuba memahami apa yang boleh membantu mereka, mengikut kemampuan saya.
Bagi saya, yang penting mereka tahu usaha dan kesetiaan mereka dihargai. Ini antara cara saya mengucapkan terima kasih.
Selain hadiah, Diva M turut meluangkan masa bersama kakitangan menerusi jamuan makan bagi mengeratkan hubungan di luar urusan kerja.
Saya mahu mereka selesa bekerja dengan saya dan rasa dihargai. Sesekali kita keluar makan bersama, dapat berbual dan luangkan masa.
Hubungan yang baik itu penting sebab merekalah orang yang banyak bersama saya dalam urusan perniagaan setiap hari.
Bermula dalam perniagaan pada 2016, Diva M kini mempunyai pengalaman sekitar sedekad dalam mengembangkan usaha melibatkan operasi salun dan produk penjagaan rambut.
Amalan berkongsi rezekinya turut merangkumi aktiviti kebajikan apabila pernah memberikan khidmat gunting rambut percuma kepada kira-kira 40 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras serta 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.
Bagi Diva M, peluang membantu orang lain bermula dengan melihat keperluan mereka di sekelilingnya, termasuk kakitangan sendiri.







