Foto: Karya Bestari
Sejak semalam, tular satu kisah di media sosial memaparkan seorang penguat kuasa yang mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga jalanan.
Kisah tersebut bagaimanapun, mengundang amarah dalam kalangan warganet dan mereka turut mempersoalkan penguat kuasa berkenaan yang sama sekali tidak memakai pelitup muka.
Akan dikenakan tindakan
Foto: Muhammad Firdaus
Terbaru lapor Harian Metro, seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasir Mas akan dikenakan tindakan oleh pihak polis susulan tidak memakai pelitup muka ketika bertugas.
Gambar penguat kuasa itu tular ketika dia mengenakan kompaun terhadap peniaga jalanan yang menjalankan perniagaan di lokasi tidak dibenarkan iaitu berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang.
Ujar Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir penguat kuasa berkenaan akan diambil tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Pada masa yang sama, pihaknya turut mengesan lelaki itu supaya tindakan dengan segera dapat diambil.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat bertujuan menjalankan risikan dan siasatan berkaitan gambar yang tular dan mengambil tindakan sewajarnya kepada penguat kuasa terbabit.
Sumber: Harian Metro