Penyanyi yang popular dengan lagu Salam Untuk Kekasih, Nadia Ali bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan selepas diuji dengan penyakit strok otak yang kritikal enam bulan lalu.
Otak dengan mulut tak boleh berhubung
Mengimbas kembali detik cemas kepada OhBulan!, Nadia, 50, berkata ketika sedang bekerja untuk satu stesen radio, dia tiba-tiba tidak boleh berdiri lalu terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Saya ketika itu berada dalam keadaan sihat dan nak buat satu program untuk radio secara strim. Tiba-tiba saya tak boleh berdiri. Manakala otak dengan mulut tidak boleh berhubung. Nak cakap benda lain tapi yang keluar dimulut lain.
Saya dimasukkan ke ICU di hospital selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah pemulihan saya sekarang sudah 80 peratus.
Kata pengusaha hotel di Sipitang, Sabah, selepas episod tersebut dia sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan. Ujar pemilik nama Zarina Mohd Ali, dia kini perlu menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan serta mengambil ubat kolesterol dan darah tinggi.
Kali ini saya takkan mensia-siakan hidup dan jaga kesihatan sebaiknya. Saya kini amat menjaga makan ubat kolesterol dan darah tinggi. Setiap bulan akan buat pemeriksaan doktor.
Orang akan kenang saya
Tampil dengan single baharu berjudul Insaf, Nadia menghasilkan sendiri lagu ini sepenuhnya, manakala Julfekar bertindak sebagai penerbit.
Saya tak berniat mencari untung wang ringgit dari lagu ini kecuali mengharapkan ia diterima sebagai satu amal untuk saya menjawab di akhirat nanti dengan bakat yang ada.
Kalau saya meninggal dunia semasa saya sakit sebelum ini, orang akan ingat saya dengan lagu Salam Untuk Kekasih. Namun dengan adanya lagu Insaf, kalau berlaku apa-apa orang akan kenang saya dengan lagu ini dan ia sangat baik. Semoga lagu ini diterima Allah sebagai satu amalan.