Pelakon veteran tanah air Mak Wan Latah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, pada Khamis atas pertuduhan meludah bekas pembantu peribadinya, pada bulan lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Serang Sebab Dia Ludah’ – Bekas Pembantu Peribadi Mengaku Pernah Pukul Mak Wan Latah
Mengaku tidak bersalah
Memetik laporan Sinar Harian, Mak Wan Latah, 61 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.
Pemilik nama sebenar Halimatussa’diah Mohd Daud itu didakwa atas tuduhan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28 tahun, dengan motif membangkitkan kemarahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai, Batu Kurau dalam daerah Larut Matang, kira-kira pukul 7 malam, 24 Jun lalu.
Denda RM100
Mak Wan Latah didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Khoo Thean Heng menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 mengambil kira status tertuduh, namun kemudiannya menetapkan tertuduh hanya dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Pada 5 September depan, mahkamah menetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, nama Mak Wan Latah mendapat perhatian umum selepas timbul konflik dengan bekas pembantu peribadinya, Amell yang mendakwa Mak Wan telah meludahnya apabila dia bertanyakan satu soalan yang tidak boleh diterima tertuduh.
Sumber: Sinar Harian