Sebelum ini, Konsert Riuh Sokmo yang menampilkan kumpulan Wings di Negeri Kelantan didakwa bertentangan dengan dasar pembangunan Islam Negeri Kelantan.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Ada Masalah Peribadi, Jangan Hentak Atas Pentas’ – Awie
Permainan politik
Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie kecewa apabila penganjuran konsert dikatakan menjadi punca kerosakan akhlak rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Kata penyanyi berumur 53 tahun itu, negeri terbabit sudah terlibat dengan pelbagai kes jenayah selain konsert itu sudah ditetapkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Jangan salahkan Wings yang hanya datang sehari dan buat persembahan, rakyat negeri itu terus jadi jahanam, tidak boleh begitu. Ini sebenarnya permainan politik.
Sebaliknya gunakan kelebihan ahli politik yang ada untuk membantu negeri itu menjadi lebih baik, agar rakyat terjamin.
Kalau nak cerita tentang masalah yang ada di situ, memang dah sedia ada banyak kes melibatkan pelbagai jenayah. Itu yang perlu diambil kira bukan sebab konsert itu. Lagipun konsert tersebut ada SOP yang ditetapkan.
Awie berkata demikian selepas sidang media Konsert Wings ‘Naga Kramat’ yang diadakan di Ancasa Hotel, baru-baru ini.
Lebih baik berhibur di negeri sendiri
Selain Wings, Datuk Ramli Sarip, Kugiran Masdo dan Faizal Tahir antara yang memeriahkan konsert yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, berpendapat tidak salah untuk berhibur asalkan berpada-pada.
Bagi saya mudah sahaja, kalau manusia itu betul-betul mahu berubah bukan setakat kepada sesuatu yang jahil, mengisi sedikit ruang untuk berhibur adalah tidak salah.
Untuk rakyat di sana, supaya tidak pergi ke seberang (Thailand) berhibur sehingga tidak tentu arah dan memberi kesan teruk. Lebih baik duduk berhibur di negeri sendiri, lagi terjaga dan terjamin.
Jangan terlalu ekstrim menghalalkan atau mengharamkan sesuatu perkara itu. Bagi peluang dan ruang untuk mereka merasa sebelum ada perkara negatif berlaku.
Untuk perkembangan terkini, Wings bakal mengadakan konsert ‘Naga Kramat’ anjuran MW Mega dan Awie Entertainment yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket-tiket konsert sudah mula dijual secara atas talian mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama) di www.ticket2u.com.my/nagakramat.