Peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad Rahman nekad untuk meninggalkan dunia gelap demi ibu tersayang, Cik Marjuna Basri.
Artikel Berkaitan: Shila Amzah, Tomok & Jaclyn Victor Dalam GV9 Jadi Pertikaian, Ini Penjelasan Dari Raqim Ahmad
Ibu datang bertongkat
Menurut Fuad, dia insaf selepas melihat kegigihan ibunya yang berumur 81 tahun datang melawat di penjara dengan berjalan menggunakan tongkat.
Kali terakhir saya dijatuhi hukuman tujuh tahun tiga bulan dengan enam kali sebatan. Sebelum itu pernah kena tiga kali sebatan masa kali pertama dipenjara disebabkan kesalahan sama.
Masa itu mak saya datang melawat ke dalam, sebelum ini tak boleh melawat, hanya dapat tengok gambar saja, bila waktu itu dapat tengok muka mak saya, hati saya mula terdetik.
Mak saya pun dah 81 tahun, dia datang dengan bertongkat. Terfikir juga kenapa mak datang dalam keadaan begitu.
Melihat keuzuran ibunya yang menjentik hati penyanyi berumur 43 tahun untuk tidak lagi terjebak dengan najis dadah.
Saya takut apa-apa jadi dekat mak sebab saya tiada di rumah dan itu buat saya sedih.
Dari situ, saya cakap pada diri saya, sudah tiba masanya untuk berubah dan kena keluar dari zon gelap itu.
Jaga solat
Dalam pada itu, pemilik nama Mohamed Fuad Abdul Rahman menyatakan dia kini sedang berusaha menjadi insan lebih baik dengan menjaga solat lima waktu.
Saya solat, macam mana ada masalah pun tetap cuba untuk tidak tinggal solat.
Benda tu (solat) buat saya lupa kenangan-kenangan dan cerita lama itu.
Pada Ahad lalu, Fuad gagal menahan air mata ketika menyampaikan lagu berjudul Layang-Layang Terputus Talinya semasa konsert minggu keempat GV9.
Konsert mingguan GV9 mula bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam.
Foto: Azrul Rafie