Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang gadis bawah umur di Jalan Tengku Bendahara, semalam (Khamis).
Artikel Berkaitan: Atok 72 Tahun Ditahan Polis, Mengaku Cabul Anak Jiran Umur 7 Tahun – Tak Bersetubuh, Cuma Pegang-Pegang
Artikel Berkaitan: Buruh Cabul Anak Rakan Dihukum Penjara 5 Tahun, 2 Sebatan
Dicabul ketika sedang berjalan
Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrin Mohd Nor, memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 1.10 tengah hari. Pada ketika itu, gadis berkenaan sedang berjalan menuju ke kereta ibunya selepas pulang dari sekolah.
Lelaki terbabit secara tiba-tiba memberhentikan motosikal dan bertanyakan sesuatu yang tidak difahami gadis berkenaan. Suspek kemudiannya bertindak memegang payudara gadis berkenaan sebelum cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.
Jelas Bahrin, mangsa yang terkejut dengan tindakan tersebut telah berlari ke arah kereta ibunya dan kemudian tampil membuat laporan polis.
Bagaimanapun, suspek berusia 19 tahun itu akhirnya berjaya ditangkap di Jalan Yap Tau Sah dengan bantuan orang awam. Difahamkan, lelaki berkenaan turut memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hukuman sebat.
Sumber: Sinar Harian