Datuk Aaron Aziz diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik di Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Artikel Berkaitan: ‘Perjalanan Saya Selama 16 Tahun Sebagai Pelakon Bukan Mudah’ – Ummi Nazeera
‘Saya sangat tak sangka’
Kemenangan tersebut diraih Aaron melalui lakonan dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa gandingan bersama Gambit Saifullah dan Sophia Albarakbah.
Ujar Aaron lagi, dia langsung tidak tahu dirinya tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan tujuannya datang ke malam TADS adalah untuk memberi sokongan kepada TV3 dan pihak produksi Suamiku Lelaki Pendosa.
Saya sangat tak sangka dan rasa berbesar hati sangat. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan saya sangat seronok.
Tambah Aaron, wataknya dalam drama tersebut adalah satu cabaran buat dirinya. Meskipun drama tersebut menjadi bualan hangat orang ramai, namun Aaron menganggap ianya hanyalah sekadar lakonan.
Saya pun berlakon dengan sepenuh hati dan inilah ganjarannya bila kita lakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan daripada Allah SWT. Tapi saya bawa watak tu bukan untuk menjatuh sesiapa.
Kita sama-sama manusia, tiada hak nak judge seseorang itu sama ada naluri dia lebih kepada wanita atau lelaki. Saya bawa watak tu pun bukan untuk jatuhkan maruah sesiapa tapi untuk menghidupkan dan menjayakan karya Suamiku Lelaki Pendosa.
Sementara, Gambit diumum Pelakon Antagonis Terbaik menerusi drama sama. Aaron menewaskan empat calon lain iaitu Aliff Satar, Jalil Hamid, Zamarul Hisham dan Shukri Yahya.